Perdagangan Malaysia lepasi RM400 bilion buat kali pertama - Utusan Malaysia

Perdagangan Malaysia lepasi RM400 bilion buat kali pertama

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah perdagangan Malaysia melonjak 58 peratus tahun ke tahun kepada RM436.61 bilion pada Oktober 2026, mencatatkan pertumbuhan bulanan terpantas dalam sejarah negara dan melepasi paras RM400 bilion buat kali pertama.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, eksport meningkat 61.1 peratus kepada RM239.20 bilion, melepasi RM200 bilion untuk dua bulan berturut-turut serta merekodkan pertumbuhan terpantas sejak April 2021.

Menurutnya, import pula meningkat 54.4 peratus kepada RM197.41 bilion, nilai tertinggi pernah dicatatkan, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan RM41.80 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah itu turut menandakan lebihan dagangan selama 78 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

“Prestasi eksport yang kukuh pada Oktober 2026 didorong pertumbuhan merentas sektor ekonomi utama, khususnya barangan perkilangan dan hasil galian, sekali gus mencerminkan daya tahan serta kepelbagaian asas eksport negara.

“Barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan eksport apabila mencatatkan nilai bulanan tertinggi, meningkat RM58.51 bilion berbanding Oktober 2025.

“Prestasi itu disokong permintaan global berterusan terhadap semikonduktor serta penggunaan teknologi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyatan.

Katanya, pertumbuhan eksport turut didorong peningkatan penghantaran keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta gas asli cecair (LNG).

“Momentum pertumbuhan itu turut dicerminkan melalui prestasi perdagangan dengan rakan dagang utama Malaysia apabila permintaan kekal positif sepanjang Oktober 2026,” ujarnya.

Matrade berkata, eksport ke ASEAN, Republik Rakyat China (China), Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, dengan kesemua pasaran merekodkan nilai eksport bulanan tertinggi.

“Pertumbuhan turut meluas ke pasaran rakan dagang di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia, disokong kepelbagaian barangan eksport serta usaha berterusan memperluas pasaran.

“Peningkatan eksport direkodkan ke India, Jepun, Republik Korea (ROK), Mexico, Hong Kong SAR, Türkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, United Kingdom (UK), Kanada dan Chile,” katanya.

Sementara itu, bagi tempoh 10 bulan pertama 2026, jumlah perdagangan Malaysia turut mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah apabila berkembang 33.2 peratus kepada RM3.348 trilion.

“Pencapaian itu menyaksikan jumlah perdagangan negara melepasi paras RM3 trilion, dua bulan lebih awal berbanding 2025.

“Eksport meningkat 37.1 peratus kepada RM1.811 trilion, mencatatkan pertumbuhan terpantas bagi tempoh berkenaan, mengatasi peningkatan import sebanyak 28.8 peratus kepada RM1.536 trilion.

“Susulan itu, lebihan dagangan meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM274.81 bilion, mengatasi rekod tertinggi terdahulu sebanyak RM256.20 bilion yang dicatatkan pada 2022,” jelasnya.

Tambahnya, meskipun ketidaktentuan perdagangan global masih berterusan, aktiviti perdagangan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026.

“Pertumbuhan itu didorong perbelanjaan isi rumah yang kekal kukuh, peningkatan aktiviti pelaburan serta prestasi eksport yang memberangsangkan, khususnya bagi barangan berkaitan teknologi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini