COX’S BAZAR: Menteri Luar Bangladesh yang juga Ketua Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Khalilur Rahman menggesa Myanmar membawa pulang ratusan ribu pelarian Rohingya, sehari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan keputusan bersejarah berhubung kes genosid terhadap etnik itu.
Lebih sejuta etnik Rohingya kini menetap di Bangladesh, dengan kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras ketenteraan Myanmar pada 2017.
Keputusan ICJ itu mencatat sejarah apabila buat pertama kali dalam tempoh 80 tahun penubuhannya, mahkamah berkenaan memutuskan sesebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid.
“Myanmar mesti membawa pulang Rohingya. Keputusan yang tercatat di atas kertas bukanlah keadilan dalam kehidupan sebenar, kini keputusan itu mesti dilaksanakan,” katanya sambil menggesa supaya mereka yang dipindahkan akibat tindakan Myanmar dibenarkan pulang dengan selamat, secara sukarela dan bermaruah.
Keputusan itu disifatkan sebagai kemenangan kepada perjuangan panjang etnik minoriti yang kebanyakannya beragama Islam itu untuk mendapatkan keadilan.
Ratusan pelarian Rohingya menyaksikan prosiding mahkamah menerusi skrin besar di Cox’s Bazar pada Khamis, dengan ramai daripada mereka tidak dapat menahan sebak ketika keputusan diumumkan.
“Saya menggesa Myanmar memenuhi tanggungjawab ini dengan niat baik, mematuhi undang-undang antarabangsa dan membuktikan negara itu mampu melaksanakan ketetapan mahkamah secara bermakna.
“Komuniti antarabangsa juga memikul tanggungjawab besar untuk memastikan keputusan ini dilaksanakan. Kita mesti bertindak bersama-sama bagi mendesak pematuhan sepenuhnya.
“Hanya dengan itu keputusan ini akan membawa perubahan kepada kehidupan etnik Rohingya,” katanya.
Khalilur turut menggesa bantuan kepada pelarian diteruskan, namun berkata, Dhaka tidak boleh dijangka menanggung keseluruhan kos berkenaan.
“Komuniti antarabangsa, khususnya rakan pembangunan, mesti meningkatkan pembiayaan bagi usaha kemanusiaan di kem-kem pelarian ini,” katanya.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai wakil tinggi Bangladesh bagi isu Rohingya, turut menggesa Myanmar menyiasat dan mendakwa individu yang disyaki melakukan genosid, memberikan pampasan kepada mangsa serta memperkenalkan langkah perlindungan bagi mengelakkan kekejaman serupa berulang.
“Biarlah sejarah mencatat bahawa 19 November 2026 adalah hari bermulanya perjalanan pulang untuk anda,” katanya kepada orang ramai.
Seorang pelarian, Amanullah, 61, berjalan dari kemnya sambil memimpin tangan dua cucu lelakinya yang masih kecil kerana mahu mereka menyaksikan detik yang disifatkannya bersejarah itu.
“Kanak-kanak ini dilahirkan di kem pelarian Cox’s Bazar. Saya cuba menjelaskan kepada mereka bahawa mereka bukan orang Bengali, sebaliknya etnik Rohingya.
“Jadi, saya membawa mereka bersama untuk menyertai detik bersejarah ini,” katanya.– AFP











