Memuatkan artikel berkaitan…
Bayangkan keenakan ikan patin sungai yang lembut isinya, disiram kuah tempoyak pekat dengan rasa masam, pedas dan sedikit lemak yang cukup menyelerakan. Apabila dinikmati bersama nasi putih panas, hidangan tradisional Pahang ini pastinya sukar ditolak, apatah lagi oleh penggemar masakan kampung.
Namun, rahsia menghasilkan ikan patin tempoyak yang enak bukan sekadar terletak pada ramuan kuah, sebaliknya turut bergantung pada pemilihan ikan yang segar dan cara penyediaannya.
Menurut Datin Noor Hayati, ikan patin sungai, khususnya dari Temerloh, Pahang, memainkan peranan penting dalam menentukan keenakan hidangan.
Beliau turut berkongsi beberapa petua mudah untuk menghilangkan bau hanyir ikan patin sebelum dimasak, sekali gus memastikan keenakan rasa tempoyak lebih terserlah.
Ikuti resipi dan petua pilihan Hayati untuk menyediakan ikan patin tempoyak yang menyelerakan.
Bahan kisar:
• 1 mangkuk tempoyak
• 1 genggam cili api
• 2 batang cili merah
• 3 inci kunyit hidup
Bahan-bahan lain:
• 2 ekor ikan patin
• 1 mangkuk daun kesum
• 2 batang bunga kantan
• Air secukupnya
• 2 keping asam keping
• 1 keping kecil gula nisan
• Garam secukup rasa
• 1 biji timun tua
Cara-cara:
• Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama air secukupnya.
• Masak hingga kuah mendidih kemudian masukkan asam keping dan gula nisan.
• Perasakan dengan garam secukup rasa.
• Kemudian masukkan timun tua dan bunga kantan.
• Setelah kuah dan semua bahan masak sebati, barulah masukkan ikan patin dan daun kesum.
• Biarkan mendidih hingga ikan patin masak sepenuhnya dan siap dihidangkan.
TIPS hilangkan hanyir ikan patin:
• Cuci ikan patin bersih hingga ke tulang perut.
• Rendam ikan patin dengan air, tepung gandum dan garam selama 10minit.
• Kemudian bilas bersih
atau
• Lumurkan ikan patin dengan perahan limau nipis atau asam jawa sehingga ke dalam perut ikan.
• Perap lebih kurang 10 minit.
• Kemudian bilas bersih.-UTUSAN











