Asam pedas daging tetel sememangnya tidak asing lagi bagi peminat hidangan tradisional, khususnya di Johor dan Melaka. Keistimewaan daging tetel terletak pada teksturnya yang terdiri daripada campuran daging, lemak dan urat.
Namun, resipi kali ini tampil dengan kelainan tersendiri apabila menggunakan kelapa bakar sebagai bahan istimewa yang diwarisi secara turun-temurun memberikan sentuhan rasa unik dan menyelerakan.
Bahan-bahan:
• 1 kilogram daging tetel
• Kelapa bakar secukupnya (dipotong atau dihiris kecil)
• Cili kering (tahap pedas mengikut cita rasa sendiri)
• Bawang merah kecil
• Bawang putih
• Serai
• Halia
• Kunyit hidup
• Belacan yang dibakar
• Buah keras
• Daun limau
• Halba
• Lada hitam
• Air asam jawa
• Air rebusan daging
• Minyak masak
• Garam secukupnya
Nota: Kuantiti bahan kisar dan rempah boleh disesuaikan mengikut tahap kepedasan serta cita rasa masing-masing.
Cara penyediaan:
• Rebus daging bersama serai dan halia selama kira-kira dua jam atau sehingga empuk. Simpan air rebusannya untuk digunakan sebagai asas kuah asam pedas.
• Kisar bawang merah kecil, bawang putih, lada hitam dan belacan bakar sehingga halus. Kisar secara berasingan serai, halia dan kunyit hidup.
• Panaskan minyak, masukkan bahan kisar dan tumis sehingga pecah minyak serta naik bau.
• Masukkan halba yang telah disangai bagi membangkitkan aromanya.
• Kemudian, tambahkan cili kering kisar. Masukkan buah keras serta daun limau.
• Tuangkan air asam jawa bersama air rebusan daging yang disimpan tadi. Kacau sehingga semua bahan sebati dan biarkan kuah mendidih perlahan supaya rasa masam, pedas dan rempah dapat menyatu.
• Masukkan daging tetel yang telah direbus. Tambahkan kepingan kelapa bakar dan gaul rata supaya rasanya meresap ke dalam daging serta kuah. Biarkan masak dengan api perlahan sehingga kuah mencapai kepekatan yang diingini.
• Perasakan dengan garam dan sesuaikan rasa masam serta pedas mengikut selera.
• Sedia untuk dihidangkan.











