Pemimpin tidak boleh menganggap dirinya sentiasa betul

Pemimpin tidak boleh menganggap dirinya sentiasa betul – Nurul Amal

Kedudukan sebagai pimpinan tertinggi Puteri UMNO memerlukan Nurul Amal sentiasa cerdas dan bersedia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia politik yang sarat dengan perbezaan pandangan, persaingan dan pelbagai ragam manusia, seseorang pemimpin bukan sahaja dituntut memiliki keberanian untuk bersuara, malah perlu cukup matang untuk mendengar, mengalah dan menerima teguran.

Bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi, perjalanan dalam politik menjadi sekolah kehidupan yang mengajarnya tentang satu nilai penting iaitu rendah hati.

Semakin jauh melangkah dalam perjuangan, semakin wanita ini memahami jawatan dan kedudukan bukan tiket untuk berasa diri lebih tinggi daripada orang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, kepimpinan menuntut seseorang sentiasa belajar, menghormati pandangan berbeza dan menyedari kejayaan tidak mungkin digalas seorang diri.

Perjalanan Nurul Amal dalam Puteri UMNO juga bermula daripada bawah.

Beliau mula menyertai sayap itu ketika berusia 19 tahun sebagai ahli biasa sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kubang Kerian pada usia 26 tahun.

Dua tahun kemudian, beliau sekali lagi menggalas tanggungjawab apabila dilantik sebagai Setiausaha Puteri UMNO Kelantan.

Pengalaman melalui pelbagai peringkat organisasi itu membuka ruang untuknya memahami denyut perjuangan daripada akar umbi hingga ke peringkat kepimpinan negeri dan kebangsaan.

“Saya tidak pernah membayangkan suatu hari nanti akan memimpin Puteri,” katanya kepada Seri.

Namun, di sebalik perjalanan yang membawanya ke kedudukan hari ini, ada pengalaman yang lebih besar nilainya daripada sekadar pencapaian jawatan. Itulah proses mengenal diri dan belajar meletakkan ego pada tempatnya.

Mengimbau ketika mula menyertai politik, Nurul Amal yang juga mesra disapa sebagai Along mengakui dirinya pernah cenderung mengkritik perkara yang dirasakan tidak betul.

Namun, apabila diberi tanggungjawab untuk mengurus dan memimpin organisasi, barulah beliau memahami melaksanakan sesuatu perkara jauh lebih rumit berbanding sekadar menyuarakan pandangan dari luar.

Pengalaman itu menyedarkannya seorang pemimpin tidak boleh menganggap dirinya sentiasa betul.

Ada waktunya perlu mengalah, ada ketika perlu berlapang dada menerima pandangan orang lain dan paling penting, tahu menjaga adab dalam setiap perbezaan.

“Bila kita masuk politik, semua benda kita kena belajar.

“Pertama, belajar mengalah. Kedua, belajar beradab. Ketiga, belajar menghormati,” katanya.

Prinsip itu menjadi antara pelajaran paling berharga yang dibawa dalam kepimpinannya.

Bagi figura berusia 39 tahun ini, seseorang mungkin mempunyai idea yang baik dan kemampuan menyampaikan pandangan dengan meyakinkan, tetapi untuk merealisasikannya, sokongan serta kepercayaan individu lain tetap diperlukan.

Kerja berpasukan bukan sekadar membahagikan tugas, sebaliknya membina kesepakatan, menghargai sumbangan setiap individu dan bergerak ke arah matlamat yang sama.

Dalam masa sama, dunia politik turut mempertemukannya dengan pelbagai ragam manusia.

Tidak semua yang kelihatan rapat benar-benar boleh dipercayai, manakala persahabatan yang tulen perlu dinilai melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata.

Pengalaman itu menjadikan Nurul Amal lebih berhati-hati dalam membuat keputusan dan tidak terlalu bergantung pada penilaian manusia semata-mata.

Rendah hati bukan bermaksud merendahkan kemampuan sendiri, tetapi menyedari masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan tidak semua kejayaan lahir daripada usaha seorang individu.

PENGORBANAN ANTARA KERJAYA DAN KELUARGA

Di sebalik jadual politik yang padat, mesyuarat yang berlarutan hingga lewat malam dan tanggungjawab sebagai pemimpin, Nurul Amal tetap mencari ruang untuk menjalankan satu lagi peranan yang paling dekat di hatinya, iaitu menjadi ibu kepada empat orang cahaya mata.

Baginya, kejayaan bukan semata-mata diukur melalui jawatan, kedudukan atau pengaruh dalam parti.

Ada ukuran yang lebih peribadi untuk memastikan anak-anak membesar dengan kasih sayang, merasakan kehadiran seorang ibu dan tidak terpinggir hanya kerana kerjayanya menuntut banyak pengorbanan.

Kehidupan dalam politik jarang memberikan ruang untuk berehat panjang.

Hujung minggu yang sepatutnya menjadi waktu keluarga sering dipenuhi program, manakala urusan kerja kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi.

Sementelah, beliau memahami hakikat itu sejak mula melibatkan diri dalam perjuangan politik.

Namun, beliau tidak mahu kesibukan menjadi alasan untuk mengabaikan anak-anak.

“Orang politik ini, separuh kaki kita memang sudah berada di luar, bukan untuk keluarga.

“Sebab itu, kita kena pandai mencari masa untuk orang yang kita sayang,” katanya.

Menurutnya, mengimbangi kerjaya dengan keluarga bukan bermaksud membahagikan masa secara sama rata setiap hari.

Sebaliknya, beliau perlu bijak menentukan keutamaan, menyesuaikan jadual dan memanfaatkan setiap peluang untuk bersama anak-anak.

Hujung minggu lazimnya menjadi waktu paling sibuk dengan program turun padang, pertemuan bersama anggota parti dan pelbagai urusan masyarakat.

Namun, beliau cuba memastikan sekurang-kurangnya satu hujung minggu dalam sebulan dapat diluangkan di rumah bersama keluarga.

Baginya, masa yang sedikit tetap bermakna apabila digunakan sebaik-baiknya.

Beliau tidak mahu seluruh kehidupannya ditentukan oleh jadual kerja sehingga anak-anak hanya mendapat baki masa selepas semua urusan lain selesai.

Atas sebab itu, Nurul Amal memilih untuk tidak menghantar anak-anak ke asrama selepas mengambil kira kehidupan keluarga yang sudah banyak dipengaruhi tuntutan politik.

Katanya, anak-anak yang tinggal di asrama mempunyai jadual tersendiri.

Jika mereka pulang ketika dirinya sibuk bekerja, peluang untuk bertemu semakin terbatas.

Keadaan itu dibimbangi menyebabkan masa bersama keluarga semakin berkurangan, sedangkan anak-anak sedang melalui fasa penting dalam proses membesar.

Justeru, walaupun pulang lewat malam selepas menjalankan tugas, Nurul Amal tetap menghargai peluang melihat wajah anak-anak sebelum mereka ke sekolah pada keesokan harinya.

Ada kalanya, pertemuan itu hanya berlangsung ketika sarapan pagi.

Walaupun detiknya singkat dan mungkin kelihatan biasa bagi keluarga lain, kesempatan tersebut cukup bermakna buat seorang ibu yang jadual kerjanya tidak menentu.

“Walaupun kita penat, itu tanggungjawab kita. Anak-anak tanggungjawab kita, kerja pun tanggungjawab kita.

“Kita sendiri memilih untuk memikul tanggungjawab yang besar, jadi kitalah yang perlu berkorban,” katanya.

Prinsip itu menuntutnya mengenali batas kemampuan diri. Selepas pulang pada pukul 1 atau 2 pagi, beliau perlu bangun seawal pukul 5 pagi untuk menguruskan persiapan anak-anak ke sekolah.

Jika ada ruang antara urusan kerja, beliau akan mengambil kesempatan untuk berehat seketika sebelum menyambung tugas.

Ketika musim pilihan raya atau program parti berlangsung secara berturut-turut, panggilan video menjadi penghubung apabila tidak dapat pulang ke rumah seperti biasa.

Beliau turut berpesan kepada wanita supaya tidak melihat pengorbanan sebagai beban yang sentiasa perlu dihitung.

“Apabila seseorang terlalu memikirkan kepenatan yang ditanggung, tekanan mudah menguasai diri.

“Sebaliknya, tanggungjawab perlu diterima dengan hati yang lapang dan kesedaran bahawa setiap peranan mempunyai nilai tersendiri,” ujarnya.

EMPAT ANAK, AMANAH YANG MENGUBAH KEHIDUPAN

Satu sisi kehidupan Nurul Amal yang mungkin tidak diketahui ramai ialah pengalaman membesarkan empat orang anak yang bukan dilahirkan daripada rahimnya sendiri.

Namun, keadaan itu tidak pernah mengubah cara beliau menerima dan menyayangi mereka sebagai anak sendiri.

Bagi figura ini, kehadiran empat cahaya mata itu merupakan amanah daripada Allah SWT yang perlu dijaga sebaik-baiknya.

Tanggungjawab tersebut bukan sekadar menyediakan keperluan harian, sebaliknya memastikan mereka mendapat perhatian, pendidikan dan bimbingan untuk membina masa depan.

“Bagaimanapun mereka hadir dalam hidup saya, mereka tetap anak-anak saya. Saya melihat mereka sebagai amanah daripada Allah SWT,” katanya dalam nada sebak.

Kesedaran bahawa anak-anak bergantung kepadanya menjadikan tanggungjawab itu lebih mendalam.

Beliau mahu mereka membesar dengan keyakinan bahawa sentiasa ada tempat untuk bergantung dan seorang ibu yang memikirkan kebajikan mereka.

Baginya, menjadi ibu bukan sekadar memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Lebih daripada itu, beliau mahu membentuk peribadi yang baik, mempunyai ilmu agama dan pengetahuan dunia serta mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

Kebanggaan seorang ibu, katanya, tidak semestinya hadir melalui pencapaian besar yang diketahui ramai.

“Apabila melihat anak-anak mendalami hafazan dan menjadi imam solat berjemaah, saya rasa usaha mendidik mereka membuahkan hasil.

“Tetapi ini tidak bermakna saya berpuas hati kerana perjalanan membesarkan anak masih panjang,” katanya sambil mengusap air mata.

Dalam masa sama, beliau tidak menetapkan kerjaya tertentu untuk setiap anak. Sebaliknya, beliau mahu mereka memiliki asas agama dan ilmu dunia yang mencukupi sebelum memilih jalan kehidupan masing-masing.

Tugasnya adalah menyediakan bekalan, manakala masa depan mereka akan dibentuk melalui minat, usaha dan pilihan sendiri.

PERNIAGAAN MENJADI RUANG MEMBINA REZEKI

Selain politik dan keluarga, Nurul Amal turut menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Perjalanannya dalam bidang itu tidak sentiasa mudah. Ada perniagaan yang meningkat sebelum merosot, sementara keperluan kewangan ketika usia muda turut mengajarnya memahami nilai wang dan usaha.
Namun, segala turun naik tersebut tidak pernah memadamkan minatnya untuk terus mencuba.
Baginya, perniagaan bukan sekadar peluang menambah pendapatan, tetapi ikhtiar untuk membina sumber kewangan sendiri dan menyediakan keperluan keluarga, khususnya pendidikan anak-anak.
Antara pengalaman paling bermakna ialah apabila sebuah kedai yang dibuka dengan niat membantu menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak tidak pernah mencatatkan kerugian sejak mula beroperasi.

“Saya akui perjalanan perniagaan itu menjadi begitu mudah. Jika dahulu kadangkala tidak cukup duit dengan komitmen yang tinggi, tetapi keadaan berubah selepas kehadiran anak-anak.

“Rezeki seolah-olah lebih daripada cukup, malah ada lebihan yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan mereka.

“Kadang-kadang bila fikir balik, kita yang menumpang rezeki anak-anak,” katanya.

KEMBALI KEPADA TUHAN KETIKA PENAT DAN BUNTU

Di sebalik tanggungjawab sebagai pemimpin, ibu dan usahawan, Nurul Amal tetap manusia biasa yang turut berdepan keletihan serta tekanan.

Jadual padat dan tuntutan pelbagai peranan adakalanya memerlukan kekuatan untuk terus melangkah.

Ketika berhadapan kesukaran, pegangan agama menjadi tempat beliau kembali. Beliau memilih untuk mengadu kepada Allah SWT, terutama apabila berasa buntu atau tidak pasti tentang keputusan yang perlu dibuat.

“Kalau kita susah, carilah Allah SWT. Kalau kita rasa tidak cukup atau lelah dengan kehidupan, kembalilah kepada-Nya. Manusia tidak mampu membantu kita seperti Allah SWT,” katanya.

Beliau juga berusaha memberikan perhatian sepenuhnya ketika menunaikan solat dengan menjauhkan telefon dan gangguan kerja.

Menurutnya, jika manusia mampu memperuntukkan masa yang panjang untuk urusan dunia, hubungan dengan Allah SWT juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Pegangan itu mengingatkannya usaha manusia mempunyai batas, sedangkan setiap hasil tidak semestinya berlaku mengikut perancangan sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini