KLUANG: Kejayaan DAP mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan bahawa parti itu masih mampu meraih sokongan pengundi Melayu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kemenangan Kerk Chee Yee yang memperoleh majoriti 5,604 undi itu sekali gus memecahkan mitos yang sering dimainkan pihak lawan.
Menurutnya, kerusi Ayer Keroh yang mempunyai lebih 40 peratus pengundi Melayu sebelum ini diramalkan penganalisis sebagai kawasan berisiko tinggi buat DAP, namun parti itu berjaya menang selesa.
Beliau berkata, walaupun berdepan saingan sengit hasil pemindahan undi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), parti itu tetap berjaya mengekalkan keempat-empat kerusi penyandang.
“Di saluran-saluran muda, walaupun kita tidak mendapat majoriti, kita memperoleh sokongan yang agak memuaskan iaitu lebih 20 peratus daripada pengundi Melayu khususnya golongan muda, yang membolehkan kita memenangi kerusi itu dengan majoriti baik.
“Ini membuktikan sekiranya wakil rakyat kita konsisten turun padang, calon berwibawa dan sentiasa memberikan penjelasan kepada rakyat, tidak mustahil kita mendapat sokongan pengundi Melayu walaupun calon daripada DAP,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Konvensyen Tahunan DAP Johor, di sini hari ini.
Pada PRN Melaka, DAP berjaya mempertahankan empat kerusi DUN sedia ada yang dimenangi oleh Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir).
Keempat-empat kerusi ini merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan di PRN Melaka.
Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi penyokong PH yang dilihat rendah pada PRN Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ini, Siew Fook mengakui wujud rasa kecewa serta sikap tidak peduli politik dalam kalangan pengundi bandar dan atas pagar.
Katanya, trend penurunan peratusan keluar mengundi amat ketara di beberapa kerusi kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar.
Jelasnya, cabaran kepada parti untuk memberikan semula semangat kepada pengundi dan meyakinkan mereka bahawa kita masih adalah pilihan yang terbaik kepada mereka. Ini bukannya mereka tak pernah sokong kita.
“Ada di kalangan pengundi-pengundi ni memang mungkin pengundi atas pagar yang mungkin pernah memberikan sokongan kepada PH yang tidak keluar mengundi.
“Ini cabaran kepada kita untuk menyuntik semula semangat mereka dan memberikan alasan bahawa PH masih pilihan terbaik, mereka bukannya tidak pernah menyokong kita, cuma kali ini mereka memilih untuk tidak keluar mengundi,” ujarnya. – UTUSAN











