LISBON: Puluhan ribu penduduk berhimpun di lebih 30 bandar dan pekan di seluruh Portugal bagi membantah kenaikan mendadak harga sewa rumah, sambil mendesak kerajaan mengambil tindakan segera menangani krisis perumahan yang semakin meruncing.
Demonstrasi pada Sabtu itu dianjurkan oleh platform Casa Para Viver dengan slogan ‘Mereka tidak akan merampas hak kami untuk memiliki rumah’. Perhimpunan berlangsung di Lisbon, Porto, Faro, Portimao, Coimbra, Braga dan beberapa lokasi lain.
Peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan remaja hingga pesara, berarak sambil membawa sepanduk besar.
Penunjuk perasaan menuntut kerajaan menetapkan had kenaikan kadar sewa, memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap penyewa daripada pengusiran serta menyediakan lebih banyak rumah mampu milik. Mereka turut mendesak kerajaan menarik balik cadangan pindaan undang-undang berkaitan penyewaan rumah.
Bantahan itu berlangsung selepas Parlimen meluluskan cadangan kerajaan untuk memberikan lebih fleksibiliti dalam kontrak sewaan serta mempercepatkan proses pengusiran penyewa.
Bagaimanapun, aktivis perumahan memberi amaran bahawa perubahan itu boleh melemahkan perlindungan terhadap penyewa ketika kadar sewa terus meningkat dan bekalan rumah masih terhad.
Harga rumah di Portugal meningkat jauh lebih pantas berbanding pendapatan penduduk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut pejabat statistik Kesatuan Eropah (EU), Eurostat, Portugal mencatatkan peningkatan tertinggi dalam nisbah harga rumah berbanding pendapatan di EU antara 2015 hingga 2025, iaitu sebanyak 61 peratus, diikuti Belanda dengan 34 peratus.
Kadar sewa rumah turut melonjak sebanyak 68 peratus sejak 2020, menurut kerajaan.
Sebahagian besar kenaikan kos hartanah itu didorong oleh pembelian oleh warga asing dan dana pelaburan, selain iklim negara yang sederhana berhampiran laut sehingga menarik kedatangan ramai pekerja jarak jauh dan pesara.
Kerajaan mengambil beberapa langkah susulan bantahan itu, termasuk mengurangkan cukai bagi pembinaan rumah baharu, mengehadkan sewaan jangka pendek serta berjanji membina 145,000 unit rumah baharu.
Bagaimanapun, kerajaan mengakui langkah berkenaan tidak akan memberikan kesan serta-merta, ketika Perdana Menteri, Luis Montenegro, didesak wakil Casa Para Viver supaya mengadakan pertemuan secara langsung dengan wakil Casa Para Viver.-AGENSI











