PETALING JAYA: Pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito menyifatkan kemampuan ramai penyanyi Malaysia menyanyi secara langsung dengan baik sebagai satu kebanggaan buat industri muzik di Malaysia.
Menurut Aubrey, kelebihan itu perlu dikekalkan kerana mutu nyanyian secara langsung masih menjadi perkara paling penting dalam sesebuah persembahan.
“Saya berasa bangga kerana Malaysia mempunyai ramai penyanyi yang boleh menyanyi dengan baik secara langsung. Saya berharap kita tidak kehilangan kelebihan itu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Tambah pencipta lagu Menuju Puncak itu, dia berharap industri muzik tidak terlalu mengutamakan penampilan dan koreografi sehingga mengabaikan mutu nyanyian.
Bagaimanapun, Aubrey tidak menafikan penampilan serta koreografi turut menjadi tarikan yang mampu menarik perhatian penonton dan mempunyai nilai komersial.
“Persembahan yang mengutamakan penampilan dan koreografi memang boleh mendapat sambutan, tetapi muzik yang bagus dan disampaikan dengan baik secara langsung tetap menjadi penanda aras utama,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial bersetuju dengan pandangan Aubrey, malah perkongsian itu turut dikaitkan dengan pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, malam tadi.
“Setuju! Jangkaan awal saya sebenarnya berbeza, tetapi sekarang makin menghargai muzik dan penyanyi Malaysia,” tulis seorang pengguna media sosial. – UTUSAN










