Lima negara Eropah bakal sertai rundingan damai Russia-Ukraine

Lima negara Eropah bakal sertai rundingan damai Russia-Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Utusan khas Amerika Syarikat (AS), Jared Kushner memaklumkan pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Russia, Ukraine dan Eropah bagi menggerakkan rundingan damai ke peringkat seterusnya, termasuk memudah cara penglibatan terus antara benua Eropah dengan Moscow.

Kushner memberitahu pemberita, kedua-dua belah pihak menyedari kerjasama amat diperlukan bagi menamatkan peperangan sambil menambah beliau bersama seorang lagi utusan, Steve Witkoff sedang merangka langkah susulan.

Kenyataan menantu kepada Presiden AS, Donald Trump itu hadir selepas rundingan damai di Abu Dhabi pada Selasa lalu gagal mencapai kata sepakat untuk menamatkan konflik, namun berjaya menghasilkan persetujuan pertukaran tahanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Prospek penglibatan Eropah dalam rundingan itu semakin ketara sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila barisan pemimpinnya bersetuju pada Jumaat untuk menghantar lima wakil negara Eropah bagi mewakili blok berkenaan pada sesi rundingan akan datang.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Rabu lalu turut menyuarakan pandangan bahawa adalah mustahil untuk merangka pelan keselamatan Eropah tanpa penglibatan negara-negara Eropah sendiri.

Pihak Kremlin sebelum ini memberi isyarat terbuka untuk berunding dengan Eropah, namun tetap mengkritik ketiadaan cadangan konkrit daripada blok kesatuan terbabit.

Lima negara yang bakal mewakili blok tersebut ialah United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Itali dan Poland yang mana kesemuanya menyatakan kesediaan menghantar pasukan tentera sebagai sebahagian daripada pakatan sukarela bagi menjamin keselamatan Ukraine sekiranya gencatan senjata dicapai.

Menerusi satu hantaran panjang di platform X pada Sabtu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan Eropah mesti menyatakan secara jelas tuntutan mereka bagi tempoh pascaperang, termasuk menyampaikannya terus kepada pihak Russia.

Macron turut berpendirian Ukraine yang memiliki angkatan tentera konvensional terbesar di Eropah, mempunyai peranan penting dalam kerangka keselamatan pascaperang di samping Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sementara itu, Zelenskyy mendedahkan bahawa perunding AS dalam rundingan di Abu Dhabi ada bertanyakan kesediaan Ukraine untuk mengundurkan tenteranya dari wilayah timur Donbas sebagai pertukaran bagi menyertai keanggotaan NATO.

Di sebalik usaha diplomatik yang sedang berjalan, pertempuran di medan perang terus memuncak dengan kebocoran data agensi statistik rasmi Russia pada November mendedahkan peperangan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 450,000 anggota tenteranya setakat ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini