Zelensky bimbang Trump longgar lebih banyak sekatan ke atas Russia

Zelensky bimbang Trump longgar lebih banyak sekatan ke atas Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky meluahkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) akan menarik balik lebih banyak sekatan terhadap Russia sambil menyifatkan tindakan Presiden, Donald Trump hanya memberi ‘ganjaran’ kepada Pemimpin Kremlin, Vladimir Putin.

Kenyataan itu menyusul selepas Trump menandatangani perintah eksekutif pada Jumaat bagi mengecualikan sekatan komprehensif AS yang menyasarkan hasil tenaga Russia.

Ketetapan tersebut dibuat di sebalik tindakan Russia meningkatkan siri serangan udara ke atas Ukraine dalam krisis peperangan yang kini memasuki tahun kelima.

Memuatkan artikel berkaitan…

Trump sebelum ini mengumumkan persetujuan perjanjian dengan Putin untuk membenarkan eksport diesel Russia sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan. Zelensky menyuarakan kebimbangan  lebih banyak konsesi akan diberikan kepada Moscow selepas ini.

“Sayangnya, pembatalan sekatan ini akan berterusan. Saya percaya ‘perjanjian diesel’ ini hanyalah langkah pertama,” kata Zelensky kepada petugas media.

Beliau menegaskan usaha menghentikan peperangan tidak boleh dicapai dengan mengehadkan tindak balas Ukraine mahupun menarik balik sekatan ke atas penceroboh.

Siri serangan baharu Russia pada Sabtu dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya dua nyawa, termasuk di Kherson dan Sumy.

Zelensky turut mendedahkan keputusan AS pada Jumaat dibuat pada hari yang sama Russia menyerang 15 kemudahan penjanaan kuasa kritikal di seluruh Ukraine yang disifatkan antara serangan terbesar ke atas rangkaian tenaga negara itu menjelang musim sejuk.

Zelensky turut merujuk Akta Lindsey Graham iaitu undang-undang yang digubal untuk mengenakan tekanan efektif ke atas sektor tenaga, pertahanan serta kapal tangki ‘armada gelap’ Russia.

Beliau memberi amaran tindakan AS melonggarkan tekanan kewangan hanya akan memberi dorongan kepada Putin untuk terus melancarkan serangan.

“Langkah AS melonggarkan sekatan dan memberi ganjaran kewangan kepada Putin hanya akan menggalakkan beliau untuk terus menyerang,” kata Zelensky sambil mendesak sekutu antarabangsa mengenakan tekanan ke atas Moscow bagi menghentikan krisis berkenaan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini