WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan pelaksanaan sekatan dan tarif menyeluruh terhadap Russia selama 60 hari bagi menilai kesannya terhadap ekonomi global, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Rubio berkata, Trump mahu menggunakan tempoh itu untuk meneliti kesan pelaksanaan sekatan dan tarif berkenaan terhadap ekonomi dunia, termasuk ekonomi AS memandangkan langkah itu turut membabitkan beberapa negara lain dan bukan Russia sahaja.
Beliau berkata, pelbagai konflik di seluruh dunia turut menjejaskan harga tenaga global, termasuk perang AS terhadap Iran serta serangan kumpulan Houthi di Yemen terhadap Arab Saudi.
“Konflik di seluruh dunia ini mula saling berkait dan memberi kesan bukan sahaja terhadap harga minyak mentah dan diesel global, malah ekonomi negara,” katanya.
Penggubal undang-undang AS daripada kedua-dua parti politik mengkritik keras Trump selepas beliau menandatangani perintah eksekutif pada Jumaat untuk mengecualikan Russia daripada sekatan dan tarif menyeluruh yang diluluskan Kongres bulan lalu.
Undang-undang yang diluluskan pada September dan ditandatangani Trump itu merangkumi sekatan terhadap pegawai Russia, golongan oligarki serta institusi kewangan negara berkenaan. Undang-undang itu turut memberikan kuasa kepada Trump untuk mengenakan sekatan terhadap pembeli utama minyak dan gas Russia.
Langkah itu bertujuan menyekat sumber pembiayaan kepada penyokong Presiden Russia, Vladimir Putin serta perang yang dilancarkan Moscow terhadap Ukraine.
Bagaimanapun, lewat Jumaat lalu, hanya dua hari sebelum undang-undang itu dijadualkan berkuat kuasa, Trump mengecualikan Russia daripada sekatan ekonomi berkenaan.
“Langkah itu benar-benar tidak bertanggungjawab. Jika Presiden benar-benar mahu menurunkan harga tenaga, beliau boleh berbuat demikian dengan menyelesaikan masalah Iran, bukannya membantu Vladimir Putin,” ,” kata Senator Republikan, Thom Tillis.
Senator kanan Republikan dari Texas, Ted Cruz, turut menyifatkan keputusan itu sebagai satu kesilapan dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Fox News.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, beliau bimbang AS akan melonggarkan lebih banyak sekatan terhadap Russia dan menyifatkan tindakan Trump itu sebagai satu bentuk ‘ganjaran’ kepada Putin.-AFP











