Bantuan M40, had umur media sosial tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Bantuan M40, had umur media sosial tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bantuan kepada isi rumah kumpulan M40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup serta cadangan memperluas had umur penggunaan media sosial kepada platform permainan dalam talian antara isu dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) meminta Menteri Kewangan menjelaskan langkah membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar, tetapi masih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai mekanisme penilaian semula kelayakan bantuan berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa isi rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta Menteri Komunikasi menjelaskan sama ada kementerian bercadang memperluas had umur penggunaan media sosial kepada platform permainan dalam talian, khususnya yang mempunyai ramai pengguna dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Selain itu, Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) meminta Menteri Kewangan memperincikan penggunaan peruntukan RM50 juta dan RM200 juta bagi program sekolah serta Kampung Angkat Madani..

Beliau turut meminta penjelasan bagi memastikan ketelusan impak kewangan dan bilangan sebenar penerima manfaat Program Perumahan Rakyat (PPR).

Hassan Saad (PN-Baling) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan petunjuk prestasi bagi menilai keberkesanan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP), khususnya dalam mengurangkan aduan berkaitan harga keterlaluan.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) turut meminta penjelasan mengenai status pelaksanaan Dasar Wanita Negara 2025-2030 setakat ini.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober lalu.

Menurut takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Oktober ini, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Oktober.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari sehingga 8 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini