TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, Teheran bersedia menyertai Pakatan Mekah, blok yang merangkumi Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan, sambil menuduh Amerika Syarikat (AS) menyerang negaranya setiap kali kedua-dua pihak mengadakan rundingan.
Dalam temu bersama Al Jazeera, beliau berkata, Iran mahu menyertai Pakatan Mekah walaupun mengakui Teheran masih belum mengetahui butiran mengenai kerjasama itu.
“Umat Islam perlu bersatu dan bukannya berpecah kepada dua kumpulan yang saling bermusuhan. Kami bersedia mengambil bahagian dalam proses ini,” katanya.
Pezeshkian berkata, beliau menyampaikan mesej kepada Arab Saudi menerusi Perdana Menteri Pakistan bahawa kerajaan itu yang menempatkan dua kota suci Islam iaitu Mekah dan Madinah boleh menjadi pusat penyatuan umat Islam.
Katanya, jika umat Islam bersatu, Israel tidak akan berani bertindak seperti yang dilakukannya di Asia Barat.
Pezeshkian mendakwa pegawai kerajaan, pemimpin dan saintis Iran dibunuh ketika negara itu sedang berunding, manakala pelajar yang tidak bersalah turut terkorban.
Beliau berkata, perkara sama dibangkitkannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil menyifatkan AS, Israel dan Zionis sebagai pengganas antarabangsa yang sebenarnya.
“Mereka melabelkan kami sebagai pengganas, sedangkan kami ialah mangsa keganasan. Setiap kali kami duduk di meja rundingan, mereka melancarkan satu lagi serangan terhadap Iran,” katanya.
Mengulas Selat Hormuz, Pezeshkian menolak dakwaan Iran bertanggungjawab terhadap penutupannya. Beliau menyalahkan AS dan Israel, sambil menegaskan isu itu boleh diselesaikan menerusi dialog dan bukannya kekerasan.
Menyentuh mengenai Houthi, kumpulan yang berpihak kepada Iran dan menguasai sebahagian besar wilayah Yemen, Pezeshkian berkata, Teheran bersedia membantu menyelesaikan konflik itu dan tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk.
“Kami boleh membawa keamanan kepada kedua-dua pihak,” katanya.











