Yaman tuntut Iran henti bekal senjata kepada Houthi - Utusan Malaysia

Yaman tuntut Iran henti bekal senjata kepada Houthi

KERAJAAN YAMAN mendesak Iran tidak membekalkan senjata kepada militia Houthi dan mencampuri urusan di negara itu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADEN: Kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa pada Isnin mendesak Iran tidak membekalkan senjata kepada militia Houthi, menarik keluar pakar ketenteraannya dan tidak lagi mencampuri urusan dalaman negara itu selepas kumpulan tersebut berulang kali menyerang Arab Saudi sejak Julai.

Teheran turut dituduh memanjangkan konflik di Yaman yang berlaku sejak 2014 apabila Houthi menawan Sanaa sebelum pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan dalam konflik itu setahun kemudian bagi menyokong kerajaan negara tersebut.

Iran turut dituduh oleh kerajaan Yaman menyediakan perlindungan politik dan diplomatik kepada kumpulan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan yang di­muat naik di platform X awal Isnin, Kementerian Luar Negara dan Hal Ehwal Ekspatriat Yaman mengecam keras kenyataan Kementerian Luar Iran yang me­nuduh Arab Saudi.

Tuduhan yang dibuat Kementerian Luar Iran itu ialah Arab Saudi melanggar kedaulatan Yaman dengan melancarkan serangan ketenteraan di negara tersebut. Iran turut mengutuk serangan udara Arab Saudi terhadap sasaran awam di negara itu.

Kementerian Luar Negara dan Hal Ehwal Ekspatriat Yaman yang berpangkalan di Aden menyifatkan kenyataan Teheran sebagai usaha memberikan perlindungan politik dan media kepada militia Houthi serta mengelak tanggungjawab atas tindakan memanjangkan konflik termasuk memperburuk penderitaan kemanusiaan rak­yat negara bergolak itu.

Menurut kementerian itu, campur tangan Iran kini me­langkaui pembiayaan, pembekalan senjata dan latihan kepada Houthi, malah merangkumi penglibatan secara langsung dalam perancangan dan pengurusan operasi ketenteraan mereka.

“Kementerian menganggap gabungan sokongan ketente­raan di lapangan dengan perlindungan diplomatik dalam forum antarabangsa ini sebagai bukti lanjut mengenai hakikat peranan Iran dalam melemahkan negara Yaman dan mengancam keselamatan rantau ini dan laluan perairannya,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memetik pengumuman Kemen­terian Dalam Negeri Yaman yang mendakwa seramai 21 pakar ­asing bekerjasama dengan Houthi, termasuk 14 anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan tujuh anggota Hizbullah dari Lubnan.

Menurut kenyataan itu, pakar berkenaan terbabit dalam pelbagai tugas termasuk pemerintahan dan kawalan, pengurusan operasi, peluru berpandu balistik, dron, peperangan elektronik, penyeludupan komponen ketenteraan serta penyelarasan operasi maritim selain pemilihan kapal komersial untuk dijadikan sasaran serangan.

Kementerian itu menyifatkan kehadiran mereka sebagai membentuk sebuah ‘markas besar ketenteraan lengkap’ yang bukan sahaja melatih anggota Houthi, malah turut menyelia, merancang dan mengarahkan operasi ketenteraan kumpulan berkenaan.

“Rakyat Yaman terpaksa menanggung akibatnya sehingga mengorbankan nyawa, kesela­matan dan sumber kehidupan mereka,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan Yaman turut menu­duh Teheran yang memboleh­kan Houthi meneruskan tindakan menculik, membunuh dan mengugut orang awam, selain menyerang bandar serta kemudahan awam, termasuk mengepung kawasan sehingga menyebabkan penduduk kebuluran.

Kumpulan itu juga didakwa berulang kali melancarkan serangan terhadap wilayah Arab Saudi, kapal perdagangan dan laluan perkapalan di Laut Merah serta Selat Bab al-Mandab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini