FBM KLCI sasar 1,700 mata menjelang akhir tahun - Utusan Malaysia

FBM KLCI sasar 1,700 mata menjelang akhir tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka meneruskan momentum pemulihan dengan sasaran teknikal utama 1,700 mata menjelang akhir tahun ini, susulan peningkatan petunjuk teknikal dan prospek ekonomi domestik yang kekal kukuh.

MBSB Investment Bank Berhad berkata, pasaran ekuiti tempatan kini berada pada peringkat awal pemulihan selepas mengalami penurunan ketara daripada 1,753 mata pada akhir Ogos kepada 1,598 mata pada awal Oktober lalu.

“Indeks penanda aras berkenaan kemudiannya mula membentuk paras terendah dalam julat sokongan 1,595 mata dan rintangan 1,625 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkembangan itu disokong pemulihan Indeks Kekuatan Relatif (RSI) harian yang kembali melepasi paras terlebih jual, manakala penunjuk Moving Average Convergence Divergence (MACD) bertukar positif dan mula meningkat pada akhir Oktober.

“FBM KLCI turut berjaya melepasi paras rintangan 1,625 mata dalam dagangan 5 November lalu, sekali gus memberi petunjuk kepada peningkatan momentum pasaran,” katanya dalam nota penyelidikan. 

MBSB Investment Bank menjangkakan aliran kenaikan itu berterusan secara berperingkat, meskipun pasaran mungkin mengalami pembetulan sementara, dengan sasaran teknikal sekunder ditetapkan pada 1,750 mata.

“Dari sudut asas ekonomi, pemulihan pasaran ekuiti menjelang akhir tahun dijangka didorong ketahanan ekonomi domestik, prospek pendapatan korporat yang positif serta jangkaan penyusutan ketegangan geopolitik.

“Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.6 peratus pada 2027, manakala konsensus pasaran menjangkakan pendapatan FBM KLCI mencatat pertumbuhan sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun dalam tempoh sama,” katanya. 

Laporan itu turut menyatakan keputusan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat yang menyaksikan kemenangan besar Parti Demokrat dijangka memberi kesan positif terhadap keseimbangan politik domestik negara itu serta prospek geopolitik antarabangsa.

Bagaimanapun, MBSB Investment Bank menyifatkan sasaran FBM KLCI pada 1,770 mata sebagai senario optimistik, dengan jangkaan yang lebih cenderung kepada paras 1,700 mata.

Seiring momentum peningkatan pasaran saham tempatan, firma penyelidikan itu turut mengenal pasti lima kaunter pilihan yang mempunyai prospek teknikal dan asas kewangan menarik, iaitu CelcomDigi Berhad, KPJ Healthcare Berhad, Nestle (Malaysia) Berhad, SD Guthrie Berhad dan 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad.

Bagi CelcomDigi, firma itu menetapkan harga sasaran teknikal jangka pendek RM3, manakala harga sasaran asas pada RM3.54, disokong peningkatan penjimatan kos, pertumbuhan perkhidmatan pascabayar serta potensi hasil dividen melebihi lima peratus.

KPJ Healthcare pula diberikan harga sasaran teknikal RM3.20 dan harga sasaran asas RM3.70, dengan prospek pertumbuhan didorong permintaan perkhidmatan kesihatan yang berdaya tahan susulan peningkatan populasi warga emas dan kelaziman penyakit tidak berjangkit.

Sementara itu, Nestle (Malaysia) diberikan harga sasaran teknikal RM104 dan harga sasaran asas RM118.90 selepas prestasi pendapatan suku ketiga tahun kewangan 2026 mengatasi jangkaan, dengan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti bagi tempoh sembilan bulan meningkat 35.5 peratus tahun ke tahun.

Bagi SD Guthrie, harga sasaran teknikal ditetapkan pada RM6.90, manakala harga sasaran asas RM7.65, disokong potensi keuntungan berulang daripada pengewangan tanah sekurang-kurangnya RM500 juta setahun bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kaunter 99 Speed Mart Retail Holdings pula diberikan harga sasaran teknikal RM3.70 dan harga sasaran asas RM4.37, dengan pertumbuhan disokong pengembangan rangkaian cawangan, kecekapan logistik berpusat serta permintaan isi rumah terhadap barangan keperluan harian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini