Kenaikan gaji minimum pacu jualan motosikal - Utusan Malaysia

Kenaikan gaji minimum pacu jualan motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan motosikal di negara ini dijangka meningkat tiga peratus pada 2027, disokong pelaksanaan kenaikan gaji minimum, trend peningkatan permintaan ketika tahun pilihan raya serta bantuan pendapatan kepada penunggang perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan.

Menurut CGS International Securities (CGSI), kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027 berpotensi meningkatkan kuasa beli pengguna, sekali gus menyokong permintaan terhadap motosikal.

Ujar firma itu, tambahan pendapatan sebanyak RM300 sebulan secara umumnya mampu menampung ansuran bulanan bagi model Yamaha 135LC yang menjadi antara motosikal paling laris di pasaran, berdasarkan pembiayaan selama lima tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anggaran ansuran bulanan bagi model berkenaan adalah sekitar RM250, manakala model permulaan Yamaha Ego Avantiz pula sekitar RM153, tidak termasuk kos pengedar.

“Jangkaan peningkatan permintaan itu turut disokong corak jualan motosikal yang lazimnya lebih tinggi ketika tahun pilihan raya, selain bantuan pendapatan bulanan sehingga RM100 kepada penunggang p-hailing yang berpotensi meningkatkan penyertaan dalam ekonomi gig,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Mengulas lanjut, CGSI berkata, pasaran motosikal domestik kekal kukuh apabila jualan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 meningkat 13.9 peratus tahun ke tahun kepada 602,129 unit, sekali gus meletakkan industri pada landasan mencatat rekod jualan tertinggi.

“Dalam tempoh sama, jualan Hong Leong Yamaha meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun, mencerminkan momentum permintaan domestik yang positif meskipun pertumbuhannya lebih perlahan berbanding keseluruhan industri berikutan peningkatan persaingan daripada jenama lain.

“Hong Leong Industries (HLI) selaku peneraju pasaran motosikal Malaysia dijangka berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan permintaan itu,” katanya. 

Bagaimanapun, firma berkenaan mengingatkan peningkatan persaingan dalam pasaran motosikal tempatan, khususnya segmen skuter automatik, apabila jenama seperti Aveta dari Malaysia dan QJMotor dari China semakin memperluas kehadiran menerusi penawaran model pada harga lebih kompetitif.

“Namun, Yamaha masih mempunyai kelebihan dari segi kekuatan jenama, kualiti produk, rangkaian perkhidmatan selepas jualan serta nilai jualan semula yang lebih tinggi.

“Model Yamaha dianggarkan mampu mengekalkan antara 90 hingga 95 peratus daripada harga pembelian selepas setahun, berbanding sekitar 75 hingga 80 peratus bagi jenama pesaing.

“Selain peningkatan jumlah jualan, pertumbuhan pendapatan HLI turut dijangka disokong perubahan campuran jualan kepada produk bernilai lebih tinggi serta pengembangan segmen motosikal berkuasa tinggi menerusi import terpilih model siap bina (CBU), selain model pemasangan tempatan (CKD),” katanya. 

HLI menyasarkan peningkatan hasil keseluruhan antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang berbanding asas tahun kewangan 2026.

Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan tambah pegangan (Add) terhadap saham HLI dengan harga sasaran RM26.23 berbanding harga semasa RM16.26 ketika laporan diterbitkan pada 5 November lalu.

Firma itu turut mengunjurkan margin keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) HLI meningkat kepada 27.1 peratus pada tahun kewangan 2027 berbanding 25.7 peratus pada tahun kewangan 2026, disokong pertumbuhan jualan dan campuran produk yang lebih menguntungkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini