PENDAPATAN pekerja sentiasa menjadi isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027.
Kenaikan ini dijangka membabitkan lebih empat juta pekerja.
Gaji minimum ialah kadar upah terendah yang wajib dibayar majikan menurut undang-undang. Kadar baharu itu meningkat daripada RM1,700, iaitu kenaikan kira-kira 17.6 peratus. Namun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.
Kerajaan turut memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja.
Selain itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menaikkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan, yang memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.
Dalam pakej sama, pencen bulanan minimum dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350.
Kadar RM1,700 ditetapkan di bawah Perintah Gaji Minimum 2024. Menurut Kementerian Sumber Manusia, semua majikan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), wajib membayar kadar tersebut tanpa pengecualian sejak 1 Ogos 2025.
Sebelum belanjawan dibentangkan, kerajaan membuka kaji selidik semakan gaji minimum kepada majikan dan pekerja swasta sehingga 19 Jun 2026.
Dari sudut ekonomi, kerajaan menyatakan hasrat merapatkan jurang antara produktiviti dengan upah. Data yang dikemukakan menunjukkan pampasan pekerja hanya menyumbang 33.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Seorang penganalisis pula berpandangan kuasa tawar-menawar pekerja yang lemah dan persaingan daripada pekerja asing menerima gaji lebih rendah menyumbang pertumbuhan gaji yang perlahan. Dengan kata lain, pertumbuhan ekonomi belum sepenuhnya tercermin dalam pendapatan pekerja.
Secara teori, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 boleh diterima. Model pasaran bersaing meramalkan pengurangan pekerjaan tetapi model monopsoni dan bukti empirik menunjukkan kesan terhad apabila kadar tidak terlalu tinggi berbanding median.
RM2,000 bersamaan kira-kira 66.1 peratus daripada median upah sektor formal RM3,027 pada Mac 2026.
Pengecualian sementara PMKS mengurangkan risiko kos, manakala kesan inflasi dijangka terhad. Kerajaan menjangka lebih empat juta pekerja mendapat manfaat, kira-kira 31.7 peratus daripada 12.63 juta pekerja bergaji.
Angka 557,000 dan 705,000 merujuk pekerja formal berada di bawah atau pada RM1,700, bukan jumlah kesan langsung keseluruhan.
HUJAH MENYOKONG KENAIKAN
Pertama, kenaikan gaji minimum meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah dan menguatkan kuasa beli mereka.
Pendapatan tambahan RM300 sebulan memberi kesan nyata kepada pekerja yang perbelanjaannya tertumpu pada keperluan asas.
Kedua, kenaikan ini membantu menyempitkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan pertumbuhan gaji.
Ketiga, gaji minimum bagi graduan dan pekerja separa mahir menangani kelemahan gaji minimum sedia ada.
Menurut Anwar, gaji minimum hanya menetapkan paras terendah, sedangkan upah pekerja mahir belum setimpal dengan kelayakan mereka.
Keempat, penanda aras GLC dan GLIC boleh menjadi contoh kepada sektor swasta. Kerajaan menyatakan beberapa majikan dalam sektor perbankan serta minyak dan gas menetapkan kadar gaji yang lebih wajar.
Kelima, dasar ini sejajar matlamat jangka panjang supaya rakyat memperoleh pendapatan mencukupi untuk hidup selesa.
Seorang pakar menjelaskan Bank Negara Malaysia (BNM) membuat pengiraan konsep gaji sara hidup. Beliau berpendapat gaji minimum tidak semestinya ditetapkan pada paras itu tetapi ia sasaran yang wajar diusahakan.
KEBIMBANGAN
Walau bagaimanapun, kenaikan ini mengundang beberapa kebimbangan.
Pertama ialah kemampuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Seorang ahli akademik menegaskan kerajaan perlu mencari titik keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kemampuan sektor PKS bagi mengelakkan risiko penguncupan produktiviti serta kadar pengangguran.
Pengecualian PMKS bertujuan mengurangkan tekanan ini. Namun, ia menimbulkan persoalan tentang kesaksamaan, kerana pekerja di firma yang dikecualikan mungkin tidak menikmati manfaat yang sama. Tempoh pengecualian juga belum jelas.
Kedua, kos sara hidup. Kenaikan gaji kurang bermakna jika harga barangan turut meningkat. Seorang penganalisis menegaskan kos asas kehidupan perlu terus dikawal supaya kenaikan gaji memberi kesan positif.
Ketiga, penguatkuasaan. Perlu diingat gaji minimum dikira berdasarkan gaji pokok, maka pekerja perlu membezakan gaji pokok daripada elaun dan pemantauan oleh pihak berkuasa amat penting.
Keempat, kenaikan kos buruh mungkin mendorong sesetengah majikan mengurangkan pengambilan pekerja atau menaikkan harga. Kesan sebenar bergantung pada struktur industri dan perlu dinilai menggunakan data empirikal, bukan andaian semata-mata.
Beberapa langkah wajar dipertimbangkan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 berjalan secara berkesan dan adil.
Kerajaan perlu menjelaskan tempoh, kriteria pengecualian PMKS serta takrifan pekerjaan separa mahir supaya majikan dan pekerja memahami hak serta tanggungjawab masing-masing dengan jelas. Sokongan untuk meningkatkan produktiviti, termasuk pendigitalan, automasi bersasar dan latihan kemahiran, juga perlu diperluaskan agar majikan kecil dapat menyesuaikan diri dengan kos buruh baharu tanpa mengurangkan pekerjaan secara berlebihan.
Di samping itu, gaji minimum perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem dasar pendapatan yang lebih menyeluruh, merangkumi Dasar Gaji Progresif, Majlis Perundingan Gaji Negara dan inisiatif peningkatan kemahiran pekerja.
Usaha ini perlu diperkukuh agar saling melengkapi dan bukan beroperasi secara berasingan.
Akhir sekali, kesan kenaikan gaji minimum terhadap inflasi, pekerjaan, pendapatan isi rumah dan daya saing perniagaan perlu dinilai secara berkala berasaskan data sahih supaya dasar dapat diselaraskan secara tepat mengikut keperluan ekonomi.
Keberkesanan dasar ini bergantung keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kemampuan majikan, serta kejelasan pelaksanaan, penguatkuasaan dan sokongan produktiviti. –UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.











