HAT YAI (THAILAND): Kebimbangan terhadap kemungkinan banjir berulang seperti tahun lalu menyebabkan tempahan hotel di Hat Yai dan Songkhla bagi musim cuti akhir tahun suram apabila ramai pelancong, terutama dari Malaysia memilih menangguhkan keputusan bercuti ke bandar itu.
Presiden Persatuan Hotel Hat Yai-Songkhla, Dr. Sittipong Sittipatprapha berkata, tempahan awal bagi November dan Disember kini lebih rendah daripada jangkaan biasa berikutan kebimbangan bakal pengunjung terhadap risiko banjir.
Katanya, keadaan itu berbeza daripada kebiasaan apabila pelancong Malaysia sepatutnya sudah mula membuat tempahan lebih awal bagi menikmati cuti akhir tahun di destinasi berkenaan.
“Pada tahun ini, ramai bakal pengunjung masih bimbang tentang kemungkinan berlakunya banjir, menyebabkan mereka membuat keputusan menangguhkan tempahan.
“Akibatnya, jumlah tempahan awal bagi bulan November dan Disember adalah lebih rendah daripada jangkaan biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Sittipong berkata, tempahan awal bagi cuti tahun baharu juga masih rendah, iaitu antara 40 hingga 50 peratus apabila pelancong dan pengusaha pelancongan menunggu perkembangan situasi banjir sebelum membuat keputusan muktamad.
Bagaimanapun, katanya, kadar penghunian hotel di Hat Yai dan Songkhla ketika ini secara purata sekitar 70 peratus, manakala bagi Oktober sahaja kadar penghunian purata direkodkan sekitar 60 peratus.
Dr. Sittipong berkata, kadar Oktober itu sedikit rendah berbanding tempoh sama tahun lalu disebabkan beberapa faktor yang tidak berkaitan dengan banjir.
“Kebanyakan tempahan sedia ada dibuat oleh pelancong individu dan bukannya kumpulan pelancongan yang diuruskan oleh agensi.
“Meskipun berdepan ketidaktentuan tempahan, industri pelancongan Songkhla masih mengunjurkan sekurang-kurangnya 100,000 pelancong Malaysia akan berkunjung ke kawasan itu pada minggu terakhir Disember dan sepanjang tempoh cuti tahun baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, unjuran itu mencerminkan betapa pentingnya pelancong dari Malaysia kepada industri pelancongan Songkhla terutama semasa musim cuti akhir tahun.
Katanya, persatuan itu bersama pelbagai agensi kerajaan sedang memantau perkembangan tempahan hotel dan situasi banjir bagi menghadapi musim percutian berkenaan.
“Pengusaha hotel turut bekerjasama memantau risiko banjir serta menyampaikan maklumat kepada pihak berkaitan bagi membolehkan amaran dikeluarkan dan pemindahan pelancong dilakukan segera sekiranya keadaan memerlukan.
“Kita juga akan bekerjasama dengan hotel di kawasan yang kurang terdedah kepada banjir bagi menyediakan penginapan alternatif kepada pelancong yang perlu dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Hat Yai tidak dilanda banjir pada tahun ini, tempahan hotel berpotensi pulih dengan ketara, malah mungkin melebihi tahap yang dicatatkan ketika cuti Tahun Baharu 2025, ketika sektor pelancongan terjejas akibat banjir.
Pada 9 Disember tahun lalu, sektor pelancongan Hat Yai, Songkhla dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM2.58 bilion berikutan banjir besar selama enam hari yang melanda bandar itu bermula 22 November. – UTUSAN











