Gaduh suami isteri kini bukan lagi rahsia

Gaduh suami isteri bukan lagi rahsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dahulu, masalah rumah tangga dianggap perkara peribadi yang seboleh-bolehnya disimpan rapi daripada pengetahuan orang luar.

Jika berlaku perselisihan faham, kebanyakan pasangan memilih untuk menyelesaikannya secara tertutup, dengan bantuan keluarga atau individu yang dipercayai. Namun, zaman sudah berubah.

Kini, media sosial menjadi antara tempat golongan wanita meluahkan perasaan, berkongsi konflik rumah tangga, malah mendedahkan kisah yang selama ini tersimpan di sebalik pintu rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Fenomena ini mengundang pelbagai reaksi. Ada yang berpendapat sikap malu dan segan semakin terhakis apabila masalah suami isteri dijadikan tatapan umum.

Bagi mereka, perkara yang sepatutnya diselesaikan secara peribadi tidak wajar diceritakan kepada orang ramai, apatah lagi apabila pendedahan itu boleh mengundang kecaman dan membuka ruang kepada pelbagai spekulasi.

Namun, tidak kurang juga yang melihat tindakan itu dari sudut berbeza. Bagi wanita yang teraniaya, media sosial mungkin menjadi ruang untuk mendapatkan sokongan, berkongsi pengalaman dan mencari jalan keluar daripada situasi yang sukar.

Ada kalanya, pengalaman seseorang mampu membuka mata wanita lain yang berdepan nasib serupa, tetapi tidak tahu kepada siapa hendak mengadu.

Bukan semua wanita yang berkongsi masalah rumah tangga berniat mencari perhatian. Ada yang sekadar mahu meluahkan rasa, manakala sebahagian lagi berharap kisah mereka dapat dijadikan pengajaran.

Keterbukaan ini perlu disertai kebijaksanaan. Tidak semua perkara sesuai dikongsi secara terbuka, terutama apabila melibatkan maruah pasangan, privasi anak-anak dan perkara yang masih belum dipastikan kebenarannya.

Perkongsian ketika emosi memuncak juga boleh membawa kesan berpanjangan, termasuk apabila sesuatu hantaran tersebar di luar kawalan.

Akhirnya, perdebatan mengenai isu ini banyak bergantung pada cara kita menerima dan menilai perkongsian berkenaan. Jika dilihat sebagai ruang sokongan dan sumber kesedaran, manfaatnya mungkin besar. Sebaliknya, jika dijadikan bahan kecaman atau hiburan, tujuan asalnya boleh tersasar.

Wanita yang berdepan masalah rumah tangga wajar diberikan ruang untuk bersuara tanpa terus dihukum dengan carilah jalan penyelesaian yang selamat dan bijak. Media sosial boleh menjadi tempat meluahkan rasa, tetapi tidak semestinya semua masalah perlu diserahkan kepada penilaian orang ramai.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini