TEL AVIV: Israel sengaja mencetuskan provokasi terhadap Iran apabila mengerahkan sejumlah jet pejuang terbang menghampiri sempadan negara itu dalam gerakan yang disyaki bertujuan ‘memancing’ tindak balas ketenteraan Teheran.
Provokasi itu dipercayai akan membuka ruang kepada serangan baharu terhadap Republik Islam itu.
Saluran televisyen Channel 12 Israel melaporkan, operasi itu berlangsung pada malam Isnin hingga Selasa, membabitkan puluhan jet pejuang yang diiringi pesawat pengisi minyak Tentera Udara Israel.
Menurut laporan itu, pesawat berkenaan terbang merentasi ruang udara Syria dan Iraq sebelum berpatah balik ke Israel selepas menghampiri sempadan Iran pada jarak yang sangat dekat.
Sumber Amerika Syarikat (AS) memberitahu saluran itu, Israel mungkin berharap tentera Iran melepaskan tembakan ke arah pesawat berkenaan, sekali gus memberi alasan kepada Tel Aviv untuk melancarkan serangan terhadap Iran.
Bagaimanapun, pegawai AS dan Israel menyifatkan operasi itu sebagai latihan pencegahan bagi menghalang Iran daripada mengambil tindakan ketenteraan.
Namun, Channel 12 melaporkan gerakan itu berisiko mencetuskan salah perhitungan oleh Iran yang boleh membawa kepada tindak balas ketenteraan dan mencetuskan semula peperangan selepas AS bersama Israel memulakan perang apabila menyerang Teheran pada 28 Februari sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.
Serangan itu dilakukan selepas rundingan mengenai program nuklear Iran dengan AS gagal membuahkan hasil di Switzerland.
Sementara itu, sumber AS berkata, Israel memaklumkan Washington mengenai operasi itu lebih awal, dengan menjelaskan ia merupakan latihan ketenteraan untuk menunjukkan keupayaan tenteranya serta menghalang Iran daripada bertindak.
Menurut sumber itu, Israel mengetahui sistem pertahanan udara Iran akan mengesan pesawat berkenaan.
Operasi itu berlangsung serentak dengan lawatan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth ke Israel, yang menyaksikan beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz di Pangkalan Udara Ovda.
Dakwaan provokasi terhadap Iran itu oleh Israel semakin diperkukuhkan dengan kenyataan Netanyahu pada Rabu dengan berkata, beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan Israel untuk menjatuhkan pemerintahan ulama Iran, susulan serangan besar-besaran yang disokong AS terhadap negara itu pada tahun lalu dan tahun ini.
Sehari sebelumnya, Netanyahu memuat naik video dirinya di hadapan sebuah jet pejuang ketika bercakap melalui telefon dengan Presiden AS, Donald Trump, sambil berkata bahawa mereka akan menyelesaikan misi itu bersama-sama.
Beliau sebelum itu memberi amaran bahawa pasukan Israel bersedia bertindak pada bila-bila masa terhadap Iran.
Israel mahu menyerang Iran kerana bimbang negara itu membangunkan senjata nuklear yang amat ditakuti oleh negara Yahudi itu
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei pada Rabu menuduh AS dan Israel mencetuskan ketidakstabilan di Asia Barat menerusi serangan ketenteraan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Beliau turut menolak dakwaan Washington yang mengaitkan Teheran dengan ketegangan di Teluk Parsi dan Selat Hormuz.
Baghaei berkata, Washington bertanggungjawab terhadap peningkatan ketegangan serantau meskipun negara itu menggesa masyarakat antarabangsa mengecam Iran berhubung perkembangan di Teluk.
Beliau menegaskan AS dan Israel perlu bertanggungjawab terhadap kesan tindakan ketenteraan mereka serta perkara yang disifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Baghaei mendakwa, Washington dan Tel Aviv menyerang Iran sebanyak dua kali dalam tempoh kurang sembilan bulan, termasuk ketika rundingan diplomatik sedang berlangsung.











