TAHUN ini, jerebu yang melanda negara dilihat lebih serius berbanding tahun-tahun sebelumnya. Beberapa kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat, sekali gus menjejaskan kesihatan rakyat dan membawa kesan kepada aktiviti ekonomi.
Ramai yang marah dan secara sedar atau tidak, isu ini turut menjadi modal politik pihak tertentu.
Ada pihak mengambil kesempatan menggunakan masalah yang menimpa rakyat ini sebagai senjata ampuh bagi menyerang sesetengah pihak lain.
Tanggapan yang disampaikan kepada rakyat ialah sekiranya mereka berada di tampuk kuasa, maka masalah ini akan diselesaikan dengan berkesan dalam kadar masa yang cepat.
Tindakan mempolitikkan isu jerebu ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab. Tugas pemimpin politik termasuk dari parti pembangkang untuk berkhidmat bagi menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya sekadar beraksi mencari popular serta membuat kenyataan panas semata-mata untuk dilihat hebat namun tidak membawa sebarang manfaat.
Memang mudah untuk masing-masing berhujah itu dan menuding jari menyalahkan orang lain, namun bukan mudah untuk bekerja dan menyelesaikan masalah, apatah lagi dalam hal melibatkan hubungan dengan negara luar.
Setiap kenyataan dan tindakan harus dibuat dengan teliti serta berhati-hati, setelah mengambil kira semua faktor yang berkaitan, termasuk kesan jangka panjangnya.
Kita harus bersikap amanah dalam menunaikan tanggungjawab dan bukannya sekadar melepaskan batuk ditepi tangga melalui tindakan kurang bijak yang bakal mengundang pelbagai masalah baharu, lalu lebih mengusutkan kemudian hari.
Jangan sampai kita membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Tiada gunanya kita mencurah minyak ke dalam api yang sedang membara tatkala keadaan sedang keruh bagi semua pihak.
Masalah rentas sempadan seperti ini sememangnya lebih rumit untuk diselesaikan. Hal ini memandangkan terdapat lebih banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, termasuk situasi politik dalam negara masing-masing.
Kita tidak boleh mencari jalan mudah dalam menyelesaikan masalah, iaitu dengan hanya menyelar pihak lain. Segala-galanya memerlukan kesefahaman dan kerjasama yang erat agar semua tindakan yang bakal diambil akan memberi kebaikan kepada semua pihak yang terlibat.
Kita harus bersikap adil dan faham cabaran sebenar yang luar biasa di lapangan. Fenomena getaran selatan El Nino yang sedang melanda dunia mengakibatkan cuaca menjadi luar biasa, semakin panas dan kering berbanding selalu.
Perkara ini menyebabkan kebakaran amat mudah berlaku dan cepat merebak sehingga menjadikan kebakaran sangat sukar dikawal. Keadaan ini akan menjadi lebih parah jika berlakunya tiupan angin ketika api sedang marak.
Tambah memburukkan keadaan, kebakaran hutan yang berlaku melibatkan kawasan tanah gambut yang sememangnya sangat susah untuk dipadamkan kerana api membara di bawah permukaan tanah.
Ini bermakna meskipun api di permukaan tanah dipadamkan tetapi di bahagian bawah permukaan tanah, bara api masih tetap menyala dan boleh merebak ke permukaan tanah dengan cepat dan menyebabkan kebakaran baharu berulang di tempat sama.
Walaupun benar masalah jerebu berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia, namun siasatan mendapati banyak kes sebelum ini melibatkan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan syarikat perladangan besar Malaysia.
Oleh itu jika kita marah, mereka pun berhak marah kerana kerosakan teruk yang berlaku kepada keadaan tanah serta sistem ekologi di kawasan terlibat memakan masa lama untuk dipulihkan.
Prinsip kerajaan Malaysia ialah menyelesaikan masalah melalui jalan damai dan penuh bijaksana. Sikap angkuh dan sombong bukanlah cara kita dan tidak harus menjadi cara kita dalam menyelesaikan masalah negara, lagi-lagi masalah serantau.
Bagai menghela rambut dalam tepung, di sinilah pentingnya kemahiran diplomasi dalam menangani krisis rentas sempadan ini. Kita tidak mahu ada pemimpin yang mengusulkan langkah dangkal yang akhirnya boleh mengeruhkan lagi keadaan ini.
Malaysia, Indonesia dan negara-negara ASEAN lain masing-masing merupakan negara yang berdaulat. Maka, dalam semua tindakan yang bakal diambil, undang-undang setiap negara mesti diambil kira serta dihormati bagi menjaga kedaulatan negara masing-masing.
Seribu kawan terlalu sedikit, satu musuh terlalu banyak. Pemimpin yang bijaksana tidak akan bercakap sembrono tetapi menggunakan langkah-langkah diplomatik dalam menyelesaikan masalah secara bersama-sama. Sikap kebersamaan inilah kunci keselamatan dan kesejahteraan serantau.
KERJASAMA ASEAN
Keselamatan dan kesejahteraan rantau ini ialah tanggungjawab kita bersama dan harus dipertahankan dalam semangat ASEAN yang jitu. Perjanjian bencana rentas sempadan bukan bertujuan menyalahkan sesiapa tetapi untuk menggalakkan kerjasama demi mencari penyelesaian secara kolektif demi kesejahteraan kita semua.
Meskipun bangga dengan negara sendiri, namun hal itu bukanlah alasan untuk berlagak angkuh dan sombong terhadap negara lain. Kita masih mempunyai adab sebagai warga dunia yang berkongsi bumi ini secara bersama-sama.
Jangan juga kita cepat mengambil kesempatan atas musibah yang melanda orang ramai untuk meraih kepentingan sendiri. Tutur kata yang tidak dijaga dengan cermat bukan sahaja boleh memakan diri sendiri tetapi juga boleh mengeruhkan lagi keadaan dengan menyukarkan pihak berkuasa dalam menjalankan kerja-kerja sebenar.
Sikap dangkal segelintir daripada kita juga boleh mencemarkan urusan diplomasi antara negara yang terlibat, lalu mengganggu usaha sama dalam menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit.
Akhirnya jika gagal disebabkan tangan-tangan yang gatal ini, maka akan ada suara-suara yang masih menyalahkan kerajaan walaupun tidak terlibat melakukannya.
Jangan biarkan perasaan mengawal tingkah laku hingga menyebabkan kita bertindak secara melampau dan membawa padah.
Beringatlah hari ini cabarannya terletak pada orang lain tetapi jika dicabar sebegitu belum tentu akan dapat menanganinya dengan baik juga.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











