ALOR GAJAH: Seramai 12,531 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, pasangan dan polis dijadualkan menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 9,769 terdiri daripada anggota tentera dan pasangan manakala 2,762 lagi merupakan anggota polis, termasuk anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang layak mengundi awal.
Sebanyak 31 pusat mengundi awal akan dibuka bermula pukul 8 pagi bagi melancarkan proses pengundian.
Anggota polis, tentera serta pasangan yang layak mengundi diingatkan supaya menyemak pusat mengundi awal yang ditetapkan SPR, hadir ke pusat mengundi masing-masing dan membawa dokumen pengenalan diri.
Pengundian awal itu memberi peluang kepada anggota keselamatan yang terlibat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi sebelum hari pengundian biasa pada 14 November ini.
Proses berkenaan penting bagi memastikan anggota keselamatan dapat menunaikan tanggungjawab mengundi sebelum bertugas menjaga keselamatan dan kelancaran pilihan raya pada hari pengundian biasa.
PRN Melaka diadakan selepas pembubaran di 23 September lalu diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri.
DUN Melaka membabitkan 28 kerusi yang mana ketika PRN lalu menyaksikan 21 kerusi milik BN, PH menang lima kerusi dan PN dengan dua kerusi.
PRN Melaka merupakan PRN ketiga diadakan tahun ini selepas PRN Johor pada 11 Julai disusuli Negeri Sembilan 1 Ogos. Setakat bulan Julai lalu jumlah pemilih berdaftar di Melaka mencecah 687,697 orang berbanding 495,195 pemilih pada PRN 2021.-UTUSAN.











