‘Deepavali’ Jegan 14 November ini

‘Deepavali’ Jegan 14 November ini

JEGAN K. meneruskan kempen di pekan Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sambutan Deepavali tidak menghalang calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek untuk terus turun padang berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Jegan K. berkata, beliau memilih untuk terus mendekati pengundi meskipun masyarakat Hindu meraikan perayaan itu bersama keluarga serta saudara-mara.

Menurutnya, dengan hari pengundian pada 14 November semakin hampir, beliau perlu memanfaatkan masa yang ada untuk mendapatkan sokongan penduduk di kawasan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua orang kata sekarang Deepavali tetapi bagi saya, Deepavali saya pada 14 November. Jadi, saya perlu bekerja keras juga,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Gadek di sini.

Jegan berkata, beliau turut mengambil peluang sempena musim perayaan untuk mengunjungi kediaman rakan dan saudara-mara, selain meneruskan aktiviti ziarah dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, pertemuan secara bersemuka itu membolehkannya memperkenalkan diri kepada pengundi, di samping mengenali mereka dengan lebih dekat.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan pada sebelah petang tidak menghalangnya daripada meneruskan gerak kerja kempen.

“Petang-petang ini sudah hujan. Kita berkempen pun dalam hujan, bawa payung dan terus berjalan.

“Terpaksa juga kerana kita perlu jumpa semua penghuni. Mereka perlu kenal kita dan kita juga perlu kenal mereka,” katanya.

Mengulas mengenai isu setempat, beliau berkata, masalah bekalan air, sistem perparitan dan keadaan jalan raya antara aduan yang kerap diterimanya sepanjang kempen.

Katanya, gangguan bekalan air akibat paip pecah dan tekanan air rendah turut menjejaskan penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan tinggi.

Selain masalah infrastruktur, Jegan berkata, aspek kebajikan penduduk juga perlu diberikan perhatian, termasuk golongan yang mempunyai rumah dan kenderaan sendiri tetapi masih berdepan kesulitan hidup.

“Orang selalunya tengok rumah ada, kereta ada, mereka ingat seseorang itu tidak perlukan kebajikan. Tetapi mereka juga memerlukannya.

“Mungkin rumah itu dibeli oleh arwah suami atau isteri, tetapi individu yang masih tinggal di situ tetap memerlukan bantuan kebajikan,” katanya.

Jelasnya, isu kebajikan merupakan antara perkara utama yang dibangkitkan penduduk ketika sesi pertemuan.

Katanya, sekiranya diberikan mandat pada PRN Melaka kali ini, PH akan berusaha mempergiat usaha membantu golongan yang memerlukan di kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini