FUKUOKA: Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Arifin Abdu, menerima anugerah Distinguished Contribution to Collaboration Award daripada Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama pendidikan, penyelidikan dan inovasi antara kedua-dua universiti.
Anugerah yang disampaikan oleh Presiden Kyutech, Prof. Dr. Takuo Yasunaga itu turut mencerminkan kejayaan kerjasama UPM–Kyutech dalam memperluas peluang mobiliti pelajar dan staf serta jaringan penyelidikan antara Malaysia dengan Jepun.
Antara inisiatif utama yang menyumbang kepada pengiktirafan itu ialah Program Mobiliti Pelajar dan Staf UPM–Kyutech yang dirintis oleh Prof. Dr. Arifin ketika menerajui beberapa kolej kediaman sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM.
Sejak diperkenalkan pada 2013, program berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 pelajar dari kedua-dua universiti, dengan penyertaan kini mencecah kira-kira 100 pelajar dari setiap universiti setiap tahun.
Program itu memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran antarabangsa, pendedahan teknologi serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan pemahaman silang budaya sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Pelaksanaannya turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Luar Negeri, rakan industri serta pelbagai entiti UPM termasuk fakulti, institut penyelidikan, kolej kediaman dan persatuan pelajar.
Selain mobiliti pelajar, kerjasama UPM–Kyutech turut berkembang dalam bidang penyelidikan dan inovasi menerusi UPM–Kyutech Malaysia Super Satellite Centre (MSSC) dan Kyutech UPM-Japan Super Satellite Centre (JSSC) yang membuka peluang perkongsian kepakaran serta pembangunan teknologi baharu.
Hubungan akademik itu turut diperkukuh melalui penganjuran tahunan International Joint Symposium on Applied Engineering and Sciences (SAES) sebagai platform perkongsian hasil penyelidikan dan penerokaan kerjasama dalam bidang kejuruteraan serta sains gunaan.
Sementara itu, dalam ucapan penerimaan anugerah, Prof. Dr. Arifin menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai hasil komitmen dan usaha bersama warga kedua-dua universiti dalam membina hubungan akademik yang berterusan.
“Saya melihat anugerah ini bukan semata-mata sebagai pencapaian peribadi, tetapi sebagai cerminan persahabatan yang berkekalan dan hubungan kerjasama erat antara UPM dengan Kyutech,” katanya.
Mengulas hala tuju kerjasama, beliau berharap hubungan strategik kedua-dua universiti dapat diperluas melalui pendekatan penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan (RDICE) bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat.
Antara bidang yang berpotensi diteroka termasuk pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan aeroangkasa, bioteknologi, sains makanan, perubatan, kesihatan, perubatan veterinar, teknologi hijau dan bahan termaju.
Kedua-dua universiti juga berpotensi membangunkan UPM–Kyutech Joint Sandbox sebagai platform pengujian teknologi dalam persekitaran sebenar sebelum diperkenalkan kepada industri atau dikomersialkan.
Cadangan itu boleh memanfaatkan pengalaman Putra Science Park (PSP) UPM dalam pelaksanaan Sekinchan Sandbox yang menggabungkan teknologi AI, Internet benda (IoT), dron dan analisis data bagi menyokong pembangunan pertanian pintar.
Dalam bidang aeroangkasa pula, kerjasama berpotensi diperluas kepada pembangunan dron autonomi berasaskan AI untuk pemantauan keselamatan, pengawasan sempadan dan pengurusan bencana dengan memanfaatkan pengalaman UPM membangunkan dron PUTRAUAV menggunakan bahan komposit gentian semula jadi.
UPM dan Kyutech turut berpeluang meneroka pembangunan satelit kecil, sistem komunikasi dan teknologi penderiaan jauh, termasuk pengujian satelit secara bersama dengan agensi angkasa serta rakan industri.
Gabungan kepakaran kedua-dua universiti dijangka membuka lebih banyak peluang penyelidikan, pembangunan bakat dan pengkomersialan teknologi, sekali gus memperkukuh kerjasama pendidikan dan inovasi antara Malaysia dengan Jepun. – UTUSAN











