KUALA LUMPUR: Keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir kilat di Rasuwagadhi, Nepal, menuntut penjelasan segera selepas pegawai Kementerian Luar mengarahkan mereka memohon sijil kematian.
Mereka diwakili Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) itu, mahukan penjelasan berhubung aspek perundangan.
Jurucakap MASFIH, Dr Manivannan Rethinam berkata, arahan secara mendadak itu menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi dan trauma mendalam, selepas 76 hari menanti perkembangan nasib mangsa.
Beliau berkata, pihaknya mempersoalkan sama ada dokumen perlu dipohon itu ialah Laporan Anggapan Kematian atau Sijil Kematian biasa mengikut ordinan bencana Nepal yang sudah dipinda.
“Perbezaan ini bukan sekadar berkaitan istilah. Ia membawa implikasi besar dari segi perundangan dan kewangan, termasuk pembahagian harta pusaka, pembayaran tuntutan insurans, pinjaman bank serta hak asasi waris terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Minggu lalu, Manivannan berkata, keluarga terbabit amat bimbang apabila diminta memohon sijil kematian mengikut ordinan baharu Nepal tanpa diberikan penjelasan lanjut mengenai implikasi perundangannya di Malaysia.
Beliau turut menafikan dakwaan di Parlimen bahawa kebanyakan keluarga berpuas hati dengan taklimat diberikan pihak berkuasa, sebaliknya menegaskan masih banyak persoalan penting berkaitan aspek perundangan belum terjawab.
Sehubungan itu, MASFIH mengemukakan tujuh persoalan utama kepada pihak berkuasa dan menuntut penjelasan secara bertulis, termasuk sama ada dokumen berkenaan diiktiraf Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pendirian rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC) serta prosedur perlu diikuti sekiranya individu terbabit ditemukan masih hidup kemudian.
Kumpulan itu turut menggesa kerajaan menguruskan proses dokumentasi berkenaan melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G), bukannya mewajibkan keluarga yang sedang berdepan tekanan emosi membuat permohonan secara individu menerusi Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
Dalam perkembangan berkaitan, Manivannan berkata, ketegangan yang didakwa berlaku ketika sesi pertemuan dengan pegawai kementerian, apabila ada antara mereka dikatakan menyuarakan keletihan mental serta mendakwa keluarga terbabit memberikan tekanan kepada petugas.
“Kami mengakui pengorbanan penjawat awam bekerja lebih masa dan mengorbankan masa peribadi mereka.
“Namun, siapa pula memberikan perhatian sama terhadap kesihatan mental, trauma dan penderitaan keluarga yang sudah lebih dua bulan menunggu kepulangan insan tersayang.
“Empati perlu diberikan secara dua hala. Pengorbanan pegawai tidak seharusnya dibandingkan dengan penderitaan keluarga,” katanya lagi.
Susulan itu, MASFIH menggesa satu pertemuan bersemuka diadakan segera antara Menteri Luar, wakil kanan AGC dan semua keluarga terjejas bagi menyelesaikan isu masih berbangkit, termasuk perkembangan proses pemadanan DNA.











