BAITULMUQADDIS: Pemimpin parti Yashar dan bekas ketua tentera Israel, Gadi Eisenkot pada Ahad yang diberi mandat untuk membentuk kerajaan baharu berkata, beliau terbuka kepada penyertaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan salah seorang sekutu berhaluan kanan ekstremnya dalam kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, beliau sendiri akan mengetuai kerajaan baharu itu sekali gus menjadi Perdana Menteri.
Sebelum ini, Eisenkot diminta oleh Presiden Israel, Presiden Israel, Isaac Herzog melantik Gadi Eisenkot untuk membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya umum negara itu gagal menghasilkan majoriti jelas bagi mana-mana pihak.
“Jika anggota Likud dan Parti Zionis Agama benar-benar percaya bahawa ini adalah masa untuk perpaduan, seperti yang mereka beritahu presiden, saya tidak nampak sebarang sebab mengapa mereka tidak menyokong kerajaan di bawah kepimpinan saya dan prinsip yang telah saya kemukakan,” kata Eisenkot, merujuk kepada parti Netanyahu dan parti pimpinan Menteri Kewangan berhaluan kanan ekstrem, Bezalel Smotrich.
Netanyahu, yang memegang jawatan perdana menteri secara berselang-seli selama hampir dua dekad dan mengetuai perang di Gaza, Lubnan serta Iran sejak serangan 7 Oktober 2023, kehilangan sokongan dalam pilihan raya bulan lalu, tetapi tiada pihak memperoleh majoriti mutlak.
Dalam rundingan bersama Herzog minggu lalu, Eisenkot menerima sokongan daripada parti-parti yang mewakili 67 anggota Parlimen, berbanding 46 anggota bagi Netanyahu.
Bagaimanapun, pengiraan kerusi itu turut merangkumi wakil rakyat Arab Israel, yang jumlah kerusinya melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah susulan kemarahan terhadap kerajaan Netanyahu, yang turut dianggotai tokoh berhaluan kanan ekstrem yang secara terbuka berusaha meminggirkan masyarakat itu. – AGENSI











