Maaf jerebu kelmarin, saya turut merasainya - Krisdayanti - Utusan Malaysia

Maaf jerebu kelmarin, saya turut merasainya – Krisdayanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi bertaraf diva Indonesia, Krisdayanti, sempat memohon maaf mengenai isu jerebu berpunca daripada kebakaran di Kalimantan yang turut memberi kesan kepada rakyat Malaysia, baru-baru ini.

Krisdayanti atau mesra disapa KD, 51, semasa tampil di hari pertama Festival Ultra Kalcer mengakui isu kualiti udara tersebut turut memberi kesan kepada dirinya yang menetap di Jakarta.

“Maaf mengenai jerebu kelmarin. Saya pun turut terkesan dan merasainya, namun nasib baik saya masih boleh menyanyi pada malam ini. Kita akan lakukan yang lebih baik (we do better),” ujarnya di atas pentas sambil disambut sorakan semangat para peminat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, penyanyi yang mula mencipta nama di Malaysia menerusi lagu Menghitung Hari itu tidak menyangka berkesempatan membuat persembahan di festival yang dihadiri anak muda.

“Saya mungkin datang dari generasi yang berbeza, tetapi malam ini kalian membuat saya percaya bahawa muzik yang lahir dari hati akan selalu hidup di hati setiap generasi.

“Terima kasih, anak-anak muda Malaysia, kerana terus menerima saya dengan cinta yang begitu hangat. Genap 28 tahun lalu, saya pertama kali menjejakkan kaki ke sini menerusi lagu Menghitung Hari, adakah kalian masih ingat?” katanya kemudian menyanyikan lagu hit tersebut.

Dalam persembahan berdurasi hampir satu jam itu, Krisdayanti memukau pengunjung dengan rangkaian lapan naskhah hit termasuk Jika Kau Tak Datang, Rembulan (Semesta), Pilihlah Aku, Mencintaimu, Cahaya dan Penasaran.

KD kemudiannya menutup tirai persembahan dengan rangkaian lagu medley bertenaga iaitu Mahadaya Cinta, Semua Jadi Satu serta Kamu Dihatiku Selamanya sebelum mengakhiri set menerusi lagu encore, I’m Sorry Goodbye dihadapan 7,000 pengunjung.

Festival Ultra Kalcer berlangsung selama dua hari meraikan 19 artis serumpun dari Malaysia dan Indonesia.

Dianjurkan oleh Neptunes Presents festival ini telah berlangsung selama dua hari pada 7 dan 8 November 2026 di KL Festival Park, Kuala Lumpur. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini