PETALING JAYA: Semua pihak perlu memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis tempatan mahupun antarabangsa sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang meneliti dakwaan persembahan penyanyi antarabangsa pada konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.
“Bahagian Penyelidikan Jakim sedang berhubung rapat dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi mengesahkan kesahihan dakwaan serta pematuhan syarat persembahan konsert berkenaan.
“Islam secara jelas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah SWT,” katanya di Facebook hari ini.
Persembahan konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd sebelum ini mencetuskan perdebatan di media sosial apabila netizen membangkitkan isu akidah ekoran penggunaan prop pentas yang kontroversi.
Ia susulan kemunculan sebuah patung emas setinggi kira-kira 12 meter di tengah-tengah pentas yang disamakan oleh segelintir pihak sebuah berhala. – UTUSAN











