PRN Melaka: Belia India mahu isu pekerjaan diberi keutamaan

PRN Melaka: Belia India mahu isu pekerjaan diberi keutamaan

DARI kiri R. Hariprashantraj, Kehs Meera Pillai dan R. Dhanesvare
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peluang pekerjaan yang luas dan pendapatan lebih baik menjadi antara harapan golongan belia India terhadap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ahli Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Melaka, R. Hariprashantraj berkata, kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian merupakan antara cabaran yang dihadapi golongan muda ketika ini.

Menurutnya, persaingan semakin mencabar berikutan permintaan yang tinggi, selain berpandangan sistem kuota turut menjadi cabaran kepada belia India dalam pasaran pekerjaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang memang sukar untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian kerana permintaan yang tinggi.

“Bagi masyarakat India, kami turut berdepan banyak cabaran termasuk daripada segi sistem kuota.

“Jadi, saya berharap calon-calon PRN dapat membantu meningkatkan peluang pekerjaan kepada belia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hariprashantraj berkata, selain peluang pekerjaan, pertubuhan belia juga memerlukan sokongan lebih baik daripada kerajaan negeri, khususnya peruntukan untuk melaksanakan program pembangunan belia.

Sementara itu, Kehs Meera Pillai, 18, berharap peluang pekerjaan di Melaka dapat dipertingkat bagi membantu golongan muda serta keluarga berpendapatan rendah.

“Kalau ikut peluang pekerjaan, saya rasa perlu lebih ditingkatkan sebab ada keluarga yang tidak mempunyai pekerjaan.

“Bagi keluarga B40, gaji yang rendah menyukarkan mereka, lebih-lebih lagi kalau mempunyai keluarga yang besar. Jadi, susah dari segi pendidikan dan pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, R. Dhanesvare, 18, berharap golongan muda lebih peka terhadap kepentingan mengundi bagi menentukan masa depan negeri.

Menurutnya, masih terdapat belia yang kurang menyedari tanggungjawab mereka sebagai pengundi, selain berdepan masalah sosial.

“Masalah sosial paling banyak. Lagipun, dari segi kesedaran, mereka tidak sedar betapa pentingnya mengundi.

“Bagi saya, mengundi itu penting. Itu adalah amanah dan tanggungjawab kita. Jadi, kita kena mengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini