MELAKA: Mengambil kira rungutan orang ramai yang sering terlupa pusat pengundian masing-masing, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin memperkenalkan slip semakan pengundi bersaiz poket.
Azman berkata, inisiatif itu dilaksanakan selepas mendapati ramai pengundi masih tidak mengetahui atau terlupa lokasi pusat mengundi serta saluran masing-masing.
Menurutnya, ia membolehkan jentera kempen menyemak maklumat pengundi menggunakan nombor kad pengenalan sebelum mencetak slip yang mudah disimpan dan dibawa pada hari pengundian.
“Bila jentera kita pergi ke lapangan, ramai pengundi bertanya mereka mengundi di mana.
“Jadi, bila kita pergi, kita boleh masukkan nombor kad pengenalan, terus kita bagi dia dan dia tahu tempat mengundi, sekolah mana, saluran berapa.
“Dia boleh simpan slip itu kecil dalam poket. Tak payah simpan kertas A4 yang besar. Itu yang kita buat,” katanya ketika ditemui pada program kempen PH di Paya Rumput di sini hari ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Man berkata, sistem berkenaan menggunakan data daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, sistem semakan daftar pemilih itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya kaedah penyampaian maklumat kepada pengundi ditambah baik melalui penggunaan slip bersaiz kecil.
“Data memang data SPR yang diberi kepada kita. Itu sistem daftar pemilih yang kita guna daripada SPR juga.
“Sistem itu ada, cuma kita gunakan kaedah yang menggunakan slip yang kecil, itu saja,” katanya.
Beliau berkata, kempen di Paya Rumput setakat ini berjalan dengan baik, teratur dan aman serta berharap keadaan itu berterusan sehingga hari pengundian.
Katanya, beliau akan berusaha mendekati seramai mungkin penduduk di seluruh berkenaan bagi mendapatkan sokongan mereka.
“Saya cuba habiskan semua kawasan untuk saya santuni rakyat Paya Rumput, insya-Allah.
“Saya nak mohon mereka beri kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil mereka di Paya Rumput ini,” katanya. – UTUSAN











