Dua beradik antara tiga maut dipercayai disambar petir di Sepang - Utusan Malaysia

Dua beradik antara tiga maut dipercayai disambar petir di Sepang

NORHIZAM BAHAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Identiti tiga mangsa yang maut dipercayai disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini petang tadi telah dikenal pasti.

Mereka yang maut termasuk dua beradik iaitu Mohd Sahrif Marusin, 26, pencuci kapal terbang di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dan adiknya, Mohd Ahzam Marusin, 16.

Manakala seorang lagi mangsa yang maut dalam kejadian sama dikenali sebagai Mohd Safwan Aksan, 18.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.34 petang di padang awam berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sepang itu, ketiga-tiga mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan Hospital Putrajaya.

Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah sebatang pokok.

Norhizam berkata, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berdepan cuaca buruk, khususnya ketika hujan lebat, kilat dan ribut petir.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan terbuka serta tidak berlindung berhampiran pokok besar bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan tiga jasad yang sudah bertutup dengan kain batik terbaring di bawah pokok.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa berada di lokasi kejadian selepas kereta dinaiki rosak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini