Anggota pemisah penggal kepala mangsa maut ditembak di Yala

Anggota pemisah penggal kepala mangsa maut ditembak di Yala

SEORANG anggota kumpulan pemisah Selatan Thai terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di kawasan pergunungan di Daerah Thanto, Wilayah Yala, awal pagi tadi. - IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YALA (THAILAND): Seorang anggota kumpulan pemisah Selatan Thai yang dikehendaki kerana terlibat dalam beberapa kes keselamatan, terbunuh dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan Thailand di Daerah Thanto, Wilayah Yala, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, suspek dikenali sebagai Saudi Tingueng berusia 48 tahun adalah anggota pemisah peringkat operasi dan mempunyai tiga waran tangkap tertunggak, mengikut Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, suspek juga dikehendaki kerana disyaki terlibat bersama beberapa anggota kumpulan pemisah lain dalam kejadian memenggal kepala seorang penduduk Wilayah Chiang Mai pada 2015 lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, dalam operasi kira-kira pukul 5.30 pagi tadi, pasukan keselamatan daripada tiga agensi turut merampas selaras raifal M-16 dan sepucuk pistol beserta peluru.

“Sepasukan anggota Unit Operasi Bersama Wilayah Yala melancarkan operasi di kawasan pergunungan Ban Kampung Baru, sebuah perkampungan kecil di Mukim Mae Wad, Daerah Thanto, sejak Sabtu lalu, selepas memperoleh maklumat risikan berkaitan tempat persembunyian kumpulan pemisah.

“Ketika melakukan rondaan di satu kawasan tanah tinggi di pergunungan itu kira-kira pukul 5.30 pagi tadi, pasukan keselamatan telah diserang hendap mengakibatkan berlaku pertempuran sengit,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pasukan keselamatan mengambil masa beberapa jam untuk memeriksa lokasi kejadian selepas tembakan terhenti, kerana bimbang kumpulan pemisah menanam bahan letupan buatan sendiri (IED).

Jurucakap itu berkata, pemeriksaan lanjut menemukan seorang anggota kumpulan pemisah terbunuh, manakala rakan-rakannya melarikan diri.

“Suspek yang tinggal di sebuah kampung di Mukim Bannang Sata, Daerah Bannang Sata, Yala, ditemui terbaring di lereng bukit berhampiran pangkalan operasi mereka,” katanya.

Berkenaan latar belakangnya, beliau menjelaskan, suspek didapati memainkan peranan sebagai anggota operasi kumpulan pemisah dan pernah berkhidmat sebagai jurulatih dalam kursus taktik ketenteraan untuk rekrut baharu pemberontak.

Selain itu, katanya, suspek juga dikehendaki kerana terbabit dalam serangan terhadap Pusat Pemeriksaan Pasar Krong Pinang, Yala, menggunakan senjata perang dan IED, menyebabkan 12 anggota polis cedera pada 2017.

“Suspek juga disyaki terlibat bersama anggota kumpulan lain menyerang hendak sebuah pos keselamatan kampung di Mukim Lamphaya, Daerah Mueang, Wilayah Yala, pada 2019 mengakibatkan 15 kematian dan lima kecederaan,” katanya.

Jurucakap itu berkata, pasukan keselamatan kini mempergiatkan gerakan memburu saki baki anggota kumpulan pemisah yang melarikan diri, termasuk memperketatkan pemeriksaan dan kawalan di sekitar kawasan berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini