Gaji RM2,500 graduan, pekerja separa mahir tanpa ikut wilayah

Gaji RM2,500 graduan, pekerja separa mahir tanpa ikut wilayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gaji minimum permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir akan ditetapkan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan serta dilaksanakan secara seragam tanpa mengira wilayah atau lokaliti.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penetapan itu penting bagi memastikan pekerja dinilai secara adil berdasarkan kelayakan, kemahiran dan keupayaan mereka dan bukannya semata-mata berdasarkan negeri.

Malah katanya, perbezaan lokasi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan kemahiran serta tanggungjawab yang setara pekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita lihat dari sudut graduan, kita perlu berlaku adil. Sebagai contoh, seorang graduan yang mempunyai diploma atau ijazah serta kelayakan untuk bekerja sebagai pengurus kewangan.

“Bagaimana kita hendak mengatakan bahawa dia yang bekerja di Kuala Lumpur patut menerima gaji RM8,000, sedangkan mereka yang melakukan pekerjaan sama di Perlis atau Terengganu hanya layak menerima RM2,500?

“Saya tidak boleh berbuat demikian. Mereka bekerja keras, belajar bersungguh-sungguh, memperoleh kelayakan dan mempunyai kemahiran. Justeru, kita perlu berlaku adil kepada mereka,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Program Madani Kita Di Sungai Buloh di sini hari ini.

Sebelum ini, Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia sedang menyediakan garis panduan gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi siswazah dan pekerja separa mahir untuk memastikan pelaksanaan kerangka baharu itu mempunyai asas yang jelas kepada majikan serta pekerja.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, kerajaan akan memulakan program latihan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, pihaknya akan ke Singapura dan Thailand untuk tujuan berkenaan.

“Menerusi kerjasama itu, pelajar institusi latihan di bawah JTK akan dihantar ke negara berkenaan, manakala pelajar dari institusi terbabit turut berpeluang mengikuti latihan di Malaysia, termasuk menerusi kerjasama dengan Institute of Technical Education (ITE) di Singapura.

“Program berkenaan dirangka berdasarkan keperluan sebenar industri bagi memastikan peserta memperoleh latihan dan kemahiran yang diperlukan majikan sebelum ditawarkan pekerjaan tetap.

“Pelajar berpeluang memperoleh pengalaman dan menjalani latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri. Selepas menamatkan latihan, mereka akan ditawarkan pekerjaan tetap dengan gaji yang setimpal dengan kemahiran yang diperoleh,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini