PUTRAJAYA: Penetapan kenaikan gaji minimum mulai Jun 2027 dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kesan kenaikan harga barang dan inflasi bagi memastikan ekonomi negara mampu menampung peningkatan gaji berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, keputusan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 itu dibuat selepas penelitian rapi serta berdasarkan data yang dikumpulkan daripada pelbagai pihak dan pemain industri.
“Seperti yang saya katakan, kita telah membuat pengiraan dengan sangat teliti. Kenaikan ini bukanlah mendadak. Ia tidak pergi kepada RM3,000 hingga RM3,500 seperti yang dikatakan beberapa pakar di luar sana kerana ramai antara mereka tidak mengambil kira kenaikan harga dan inflasi,” katanya pada sesi Taklimat Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia di sini hari ini.
Ramanan berkata, keputusan itu turut mengambil kira sesi libat urus dan perbincangan yang dijalankan Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Tan Sri Zainal Rahim Seman bersama pasukannya dengan syarikat dan pemain industri.
Menurutnya, MPGN mengumpulkan data daripada pelbagai kementerian serta pemain industri sebelum membuat keputusan mengenai kadar gaji minimum baharu itu.
Beliau berkata, kerajaan turut memastikan keputusan berkenaan dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri dan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dimuktamadkan.
“Beliau juga melihat bahawa ini ialah langkah yang wajar sebelum membuat keputusan. Oleh itu, kami sangat yakin dan pasti bahawa keputusan yang dibuat secara teliti, tepat dan bersama telah diambil,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat aduan daripada syarikat berhubung penetapan kenaikan gaji minimum dan kesannya terhadap kos operasi, Ramanan berkata, terdapat beberapa syarikat yang kurang berpuas hati dan telah menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa MPGN telah mengadakan banyak sesi libat urus serta perbincangan dengan pihak berkaitan sebelum kadar berkenaan diputuskan.
“Penetapan kadar itu dibuat dengan mengambil kira keperluan, memastikan ekonomi mampu menampung kenaikan gaji minimum berkenaan,” katanya. – UTUSAN











