KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada melaksanakan kadar gaji minimum RM2,000 sebulan yang akan berkuatkuasa Jun tahun hadapan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, perusahaan berkenaan masih diwajibkan membayar gaji minimum sedia ada sebanyak RM1,700 sebulan kepada pekerja masing-masing.
Menurutnya, pengecualian bersasar itu diberikan bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi perniagaan berskala kecil, selain memberi ruang kepada mereka menyesuaikan komitmen operasi dan kewangan.
“PKS dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada melaksanakan gaji minimum RM2,000.
“Bagaimanapun, gaji minimum RM1,700 sedia ada akan terus dikenakan kepada perniagaan-perniagaan ini, dan mereka digalakkan untuk menerima pakai kadar baharu secara sukarela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) berhubung pengecualian pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu.
Khairul Firdaus berkata, kerajaan menyedari cabaran dihadapi perniagaan kecil, khususnya dalam menguruskan peningkatan kos operasi dan memastikan kelangsungan kewangan syarikat.
Katanya, pengecualian berkenaan membolehkan PMKS menyesuaikan keperluan kewangan masing-masing, selain membantu memulihkan kedudukan ekonomi perniagaan.
“Pengecualian yang disasarkan ini bertujuan untuk mengurangkan beban PKS dan memberi mereka peluang untuk menyesuaikan keperluan kewangan mereka di samping membantu memulihkan kedudukan ekonomi mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan turut menyediakan beberapa inisiatif bagi menyokong sektor perniagaan dan memperkukuh keupayaan tenaga kerja sepanjang tempoh peralihan berkenaan.
Antaranya, peruntukan RM8 bilion bagi pembiayaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merentasi kementerian.
Selain itu, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan memanfaatkan dana levi berjumlah RM3 bilion bagi menyediakan tiga juta peluang latihan.
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran pula menyediakan pembiayaan RM500 juta bagi pembangunan kemahiran tenaga kerja.
Sementara itu, program Bakat MADANI TalentCorp menyasarkan pewujudan 30,000 peluang pekerjaan baharu berkualiti menjelang 2027.
Menurutnya, pelbagai inisiatif itu bertujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi. – UTUSAN










