Gaji minimum letak majikan dalam dilema

Gaji minimum letak majikan dalam dilema

KENAIKAN gaji minimum kepada RM2,000 perlu disusuli penilaian semula struktur gaji pekerja sedia ada. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUANTAN: Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 perlu disusuli penilaian semula struktur gaji pekerja sedia ada bagi memastikan keadilan dalam organisasi tanpa membebankan majikan, terutama syarikat yang berdepan kekangan kewangan.

Majikan syarikat perunding swasta, Norul Faida Md. Piah berkata, pelarasan gaji tidak seharusnya tertumpu kepada pekerja baharu yang menerima kadar minimum, sebaliknya turut mengambil kira pengalaman dan tempoh perkhidmatan kakitangan lama.

Katanya, kegagalan menyelaraskan gaji pekerja berpengalaman boleh menimbulkan rasa tidak puas hati apabila perbezaan pendapatan antara pekerja baharu dengan kakitangan lama semakin kecil.

“Apabila gaji pekerja baharu dinaikkan, gaji pekerja lama juga perlu diselaraskan supaya tidak timbul persepsi majikan tidak berlaku adil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, perkara ini perlu mengambil kira kemampuan kewangan syarikat kerana kenaikan gaji turut meningkatkan perbelanjaan operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, beliau pernah melaksanakan kenaikan gaji semua pekerja sebanyak RM200 ketika kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebelum ini.

Sementara itu, pengusaha pusat bimbingan belajar, Sarina Sidek, 44, berkata, majikan memahami keperluan pekerja memperoleh pendapatan lebih baik susulan peningkatan kos sara hidup, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan perniagaan.

Katanya, kenaikan gaji akan meningkatkan komitmen bulanan syarikat, terutama perniagaan yang mempunyai ramai pekerja dan perlu menanggung kos operasi lain.

“Semua perkara ini perlu diambil kira dalam membuat keputusan untuk menaikkan gaji pekerja supaya operasi syarikat kekal lancar,” katanya.

GEORGE TOWN: Naib Presiden Sektor Swasta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Md. Zaimi Muhamad Yusof berkata, pihaknya akan mengkaji secara mendalam kesan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik (EIWU) itu menyifatkan langkah kerajaan berkenaan sebagai usaha positif untuk meningkatkan kebajikan pekerja.

Bagaimanapun, katanya, kesan terhadap pasaran pekerjaan perlu diteliti, terutama ketika sesetengah majikan mula mengurangkan jumlah pekerja, termasuk dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Kita bimbang majikan memilih pekerja muda dengan gaji lebih rendah, manakala pekerja lama yang menerima gaji lebih tinggi berisiko kehilangan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha pemprosesan makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz, 44, berkata, pelaksanaan kadar minimum RM2,000 menjadi cabaran kerana pendapatan perniagaannya bergantung pada jumlah produk yang dihasilkan mengikut tempahan.

Katanya, kebanyakan pekerjanya merupakan pekerja sambilan yang dibayar secara harian, manakala hanya kerani dan eksekutif jualan menerima gaji bulanan tetap.

Justeru, beliau akan menilai semula kedudukan kewangan syarikat dan berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan pelarasan gaji dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini