Lebih 20 das tembakan cederakan renjer, tiga orang awam termasuk kanak-kanak

Lebih 20 das tembakan cederakan renjer, tiga orang awam termasuk kanak-kanak

20 das tembakan
PASUKAN keselamatan menyiasat tempat kejadian tembakan yang menyebabkan seorang anggota renjer parah, manakala tiga orang awam, termasuk kanak-kanak lapan tahun, cedera di Daerah Sungai Padi, Narathiwat, semalam. - IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Empat termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lebih 20 das tembakan dilepaskan oleh empat lelaki dalam satu kejadian berhampiran pangkalan operasi Kompeni Renjer 4810 di Sungai Padi, Narathiwat, petang semalam.

Penguasa Balai Polis Sungai Padi, Kolonel Tarmeese Chedee berkata, tembakan di lepaskan ke arah anggota renjer dan orang awam di Ban Chue Rae lalu terkena ke arah seorang anggota renjer Ruski Cheh Naewae, 32, yang cedera di mulut.

Katanya, sementara yang terkena peluru sesat pula termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Anafit Sama dan mengalami kecederaan di bahagian bawah lutut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua lagi mangsa Darul Ihzam Daoh, 46, dan Masufri Mazong, 31, apabila masing-masing cedera di bahagian betis dan punggung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Universiti Prince of Songkla di Hat Yai, Hospital Daerah Sungai Padi dan Hospital Daerah Sungai Golok.

Tarmeese memberitahu, siasatan awal pihaknya mendapati empat lelaki terbabit melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata jenis M16 dan AK-47 apabila lebih 20 kelongsong peluru ditemukan berselerakan di atas jalan raya.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kelongsong peluru mendapati senjata berkenaan pernah digunakan dalam serangan yang menyebabkan kematian anggota renjer di Mukim Riko, Sarjan Mejar Attapon Yaodam, pada 5 November lalu.

“Kedua-dua senjata api itu turut digunakan dalam serangan yang menyebabkan kematian bekas seorang ketua kampung, Droying Muli ketika sedang solat di dalam Masjid Darul Islah, Ban Kuwa di mukim sama, pada 3 November lalu.

“Siasatan masih diteruskan dengan memeriksa rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian,” jelasnya.

Kelmarin, tiga anggota polis dan seorang penduduk tempatan cedera apabila sekumpulan penyerang melepaskan tembakan menggunakan raifal M16 ke arah orang ramai yang hadir pada program ‘Makan Rim Khlong’ di Mukim Lam Mai, Daerah Mueang Yala, Wilayah Yala.

Serangan kira-kira pukul 9 malam itu menyebabkan Sarjan Mejar Polis Sakorn Nueangnam, 29; Sarjan Polis Natthakit Chubandith, 28; Konstabel Saranyu Seekaewkheaw, 27, dari Balai Polis Lam Mai, cedera. Turut terkena peluru ialah Mila Buehraheng, 46, yang kebetulan berada di kawasan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini