Simbol amaran di Selatan Thailand berkaitan dialog damai

Simbol amaran di Selatan Thailand berkaitan dialog damai

SIMBOL anak panah dan tanda soal dilukis pada kain putih yang digantung di beberapa lokasi sekitar Wilayah Narathiwat dan Yala. - IHSAN ISOC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Sepanduk dengan simbol anak panah berwarna merah dan hijau serta tanda soal yang ditemukan digantung di lebih 10 lokasi di Wilayah Narathiwat dan Yala pagi tadi, dipercayai ada kaitan dengan Proses Dialog Damai Selatan Thailand.

Tidak pasti pihak mana yang memasang sepanduk itu, namun tindakan berkenaan turut disertai siri letupan bom buatan sendiri (IED) serta perbuatan khianat di empat daerah di Wilayah Narathiwat dan satu di Daerah Mueang Yala.

Sumber keselamatan di sini menganggap simbol yang dilukis pada kain berwarna putih itu mengajak orang ramai menilai keadaan semasa konflik di Selatan Thailand yang tidak menentu, serta sejauh mana rundingan damai yang belum pasti bila akan diadakan, akan mencapai kemajuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, simbol anak panah berwarna merah menunjukkan arah ke bawah seolah-olah memberi amaran bahawa kegagalan rundingan damai akan mencetuskan keadaan tidak aman, di mana kekacauan yang lebih besar boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Tanda soal pula membawa maksud ketidakpastian bila dialog damai akan diadakan setelah tergantung sejak lebih setahun lalu.

“Manakala simbol anak panah berwarna hijau menunjuk arah ke atas menandakan keamanan, kebaikan dan pembangunan akan berlaku jika rundingan itu mencapai kejayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, bagi kumpulan pejuang pembebasan Selatan Thai, khususnya Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), ketiga-tiga simbol berkenaan menunjukkan semua aspek perjuangan mereka pada masa depan.

Seorang pemimpin kanan BRN yang enggan namanya disiarkan berkata, pemasangan sepanduk dengan simbol berkenaan juga adalah satu amaran susulan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perdana Menteri, Wan Muhammad Noor Matha berkaitan dialog damai itu.

Menurutnya, Wan Muhammad Noor yang juga pemantau dialog damai bagi pihak kerajaan Thailand baru-baru ini menyatakan bahawa rundingan mesti dijalankan mengikut Perlembagaan Thailand dan isu wilayah autonomi tidak boleh dilaksanakan.

“Simbol yang dipasang itu adalah reaksi daripada kenyataan berkenaan. Secara simbolik ia menyatakan perjuangan akan diteruskan dan kemungkinan keganasan akan meningkat,” katanya.

13 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan Thailand sekali lagi menegaskan permintaan BRN bagi mendapatkan taraf autonomi tiga wilayah Selatan Thai, tidak dapat dipenuhi kerana berada di luar kerangka Perlembagaan Thailand.

Perkara itu dinyatakan Wan Muhammad Noor pada pertemuan tertutup dengan Fasilitator Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal di Kompleks Pentadbiran Kerajaan di Bangkok, baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini