400 penternak udang di Thailand rugi RM725.6 juta

400 penternak udang di Thailand rugi RM725.6 juta

Udang Thailand
UDANG kertas besar segar terus dari ladang kini dijual di beberapa pasar utama di Selatan Thai dengan harga RM22.70 sekilogram. – IHSAN CHAIYONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Seramai 400 penternak Selatan Thai rugi sehingga enam bilion baht atau RM725.6 juta ekoran sekatan sementara import lima spesies udang dari Thailand oleh Malaysia sejak 1 Jun lalu.

Ahli Dewan Negara Thailand, Senator Chaiyong Manirungsakul berkata, sekatan itu masih berterusan menyebabkan ramai peternak terutama di Wilayah Songkhla, mengalami kerugian besar dalam tempoh lima bulan lalu.

Menurutnya, sekatan berpunca daripada tindakan Jabatan Perikanan Thailand menahan ikan siakap Malaysia selama tiga hari bagi menguji sisa racun perosak, hingga menyebabkan ikan itu rosak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai tindak balas, Malaysia mengharamkan import lima spesies udang Thailand. Eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand hanya sekitar 300 juta baht (RM36.3 juta) setahun.

“Tetapi Thailand rugi sehingga enam bilion baht akibat tindak balas itu. Isu ini perlu dirunding semula antara kedua-dua negara,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia.

Sekatan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dibuat atas faktor keselamatan makanan, pematuhan piawaian import, serta isu biosekuriti dan sisa bahan kimia.

Lima jenis udang yang dikenakan sekatan itu ialah udang harimau coklat, udang kaki merah/putih, udang putih, udang harimau dan udang biru.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan sedang mencari langkah menyelesaikan sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak 2017 serta permohonan akses pasaran bagi produk ternakan negara ke Thailand yang tertangguh sejak 2024.

Susulan itu, Chaiyong menggesa Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Thailand untuk berunding semula dengan kerajaan Malaysia supaya isu berkenaan dapat diselesaikan dan mengelak kerugian.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Wartawan Selatan Thai eksport udang ke Malaysia adalah alternatif penting bagi penternak di wilayah selatan yang menjana kira-kira RM725.6 juta setiap tahun untuk Thailand.

Mengulas lanjut, Chaiyong berkata, bagi mengurangkan kerugian yang lebih teruk, penternak kini mengambil inisiatif untuk menjual udang segar dari ladang di beberapa bandar utama di Selatan Thai dengan harga lebih rendah iaitu antara RM18 dan RM39 sekilogram.

“Di wilayah Songkhla sahaja terdapat kira-kira 1,070 kolam udang merentasi sembilan daerah dengan purata pengeluaran tahunan adalah kira-kira 14,000 tan, atau 1,400 tan sebulan. Saya berharap isu udang dan ikan siakap ini dapat diselesaikan segera bagi mengelak kerugian lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini