Dua pulau Pasifik belum 'disentuh' manusia

Dua pulau Pasifik belum ‘disentuh’ manusia

PULAU Bikar dan Bokak disifatkan saintis sebagai kawasan liar yang masih mengekalkan keadaan semula jadi.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJURO: Dua pulau terpencil di Lautan Pasifik dikenal pasti sebagai antara ekosistem paling terpelihara di dunia kerana masih belum terusik oleh aktiviti manusia.

Pulau Bikar dan Bokak yang terletak berhampiran Kepulauan Marshall itu disifatkan saintis sebagai kawasan liar yang masih mengekalkan keadaan semula jadinya.

Kajian terbaharu mendapati kedua-dua pulau berkenaan berkemungkinan antara ekosistem paling utuh yang masih wujud di rantau itu, malah mungkin di seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar ekologi marin dari Universiti Hawaii, Dr Alan Friedlander, berkata penyelidikan itu menyediakan penilaian asas ekologi menyeluruh yang pertama terhadap kawasan perlindungan marin baharu di kedua-dua pulau berkenaan, merangkumi ekosistem dari udara, daratan hingga ke laut dalam.

Beliau berkata, Bikar dan Bokak bukan sahaja khazanah bagi Kepulauan Marshall, malah mempunyai kepentingan kepada seluruh dunia.

“Kedua-duanya merupakan anugerah daripada masyarakat Atol Utirik yang sejak sekian lama melindungi ekosistem rapuh itu secara berterusan selama beberapa dekad,” katanya.

Bikar dan Bokak merupakan dua pulau paling utara di Kepulauan Marshall, masing-masing terletak kira-kira  116 kilometer (km) dan 385 km dari atol berpenghuni terdekat.

Pada 2023, pasukan penyelidik menjalankan tinjauan menyeluruh terhadap kawasan daratan, laut dan udara di kedua-dua pulau itu dengan menilai populasi burung laut dan burung pantai, memetakan tumbuh-tumbuhan serta mengkaji lokasi penyu bertelur, terumbu karang dan komuniti ikan.

Dr Friedlander berkata, kedua-dua pulau itu mempunyai koloni burung laut yang besar, tumbuh-tumbuhan asli yang matang serta lokasi penyu aktif bertelur.

Mereka turut menemukan sekurang-kurangnya 266 kumpulan ikan terumbu, 138 kumpulan ikan yang hidup di kawasan lebih dalam serta 79 kumpulan ikan laut dalam.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini