WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengarahkan semua penerbangan berlepas di seluruh negara digantung semalam susulan gangguan sistem komunikasi yang menjejaskan pusat kawalan trafik udara di seluruh negara, sekali gus mengganggu ribuan penerbangan.
Arahan itu membolehkan pesawat yang sedang berada di udara mendarat seperti biasa, namun pesawat yang masih berada di darat tidak dibenarkan berlepas.
Perkhidmatan pemantauan penerbangan, FlightAware, melaporkan hampir 7,000 penerbangan mengalami kelewatan atau pembatalan susulan arahan penggantungan itu.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy berkata, FAA mengeluarkan arahan penggantungan penerbangan di semua lapangan terbang negara itu berikutan masalah komunikasi yang menjejaskan semua pusat kawalan trafik udara laluan penerbangan.
“Juruteknik FAA sedang menyiasat punca gangguan itu. Kami akan menyalurkan perkembangan terkini sebaik sahaja maklumat diperoleh,” katanya.
Gangguan itu merupakan perkembangan terbaharu yang memperlihatkan tekanan terhadap sistem kawalan trafik udara AS yang berdepan pelbagai masalah termasuk kerosakan peralatan, gangguan komunikasi dan kekurangan petugas pengawal trafik udara, ketika FAA berusaha menggantikan infrastruktur usang.
Pegawai syarikat penerbangan berkata, FAA belum memaklumkan bila arahan penggantungan penerbangan itu akan ditarik balik, namun petunjuk awal menunjukkan masalah komunikasi beransur pulih di beberapa lokasi.
Ruang udara AS yang antara paling sibuk di dunia itu berdepan beberapa insiden sejak kebelakangan ini sehingga menjejaskan operasi penerbangan dan menimbulkan risiko keselamatan.
Pada Januari 2025, perlanggaran di udara berhampiran Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington mengorbankan 67 nyawa.
Pada Jumaat, Rumah Putih dan Jabatan Pengangkutan menggesa Kongres meluluskan peruntukan tambahan sebanyak AS$30.1 bilion (RM122.9 bilion) bagi menaik taraf lapangan terbang serta sistem kawalan trafik udara AS yang semakin usang.
Gangguan itu berlaku ketika kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan global semakin meningkat susulan gelombang ancaman bom palsu bulan ini yang menjejaskan puluhan penerbangan penumpang di seluruh Eropah, memaksa pesawat melakukan pendaratan kecemasan serta mendorong jet pejuang mengiringi atau memintas pesawat terbabit.
Bagaimanapun, setakat ini tiada petunjuk gangguan komunikasi di AS mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan atau berpunca daripada serangan siber.- AGENSI











