BCL mahu terus dampingi Noah, berharap diberi usia panjang - Utusan Malaysia

BCL mahu terus dampingi Noah, berharap diberi usia panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), mengakui tanggungjawab sebagai seorang ibu sentiasa hadir dengan kebimbangan, terutama apabila memikirkan perjalanan hidup anaknya, Noah Sinclair yang kini semakin meningkat dewasa.

Menurut BCL, naluri seorang ibu untuk melindungi dan memastikan kesejahteraan anak tidak pernah terhenti, bermula sejak melahirkan sehinggalah ke akhir hayat.

Justeru, dia berusaha menghargai setiap detik bersama Noah, termasuk melalui fasa membesarkan anaknya daripada zaman kanak-kanak hingga ke alam remaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namanya juga ibu bapa, sudah tentu kita sentiasa berasa bimbang. Sejak melahirkan anak sehinggalah ke akhir hayat, perasaan itu akan sentiasa ada.

“Jadi, saya cuba menikmati setiap detik sebagai seorang ibu, daripada Noah masih kecil sehinggalah kini dia meningkat remaja.

“Saya berharap dikurniakan usia yang panjang supaya dapat terus menemani dan melihat perjalanan hidupnya pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, BCL turut menyentuh mengenai pendekatan keibubapaan yang diamalkannya dalam membesarkan Noah, khususnya ketika anaknya mula mengenali dunia luar dan melalui fasa remaja.

Jelasnya, dia tidak mahu terlalu mengongkong kehidupan Noah, sebaliknya memberikan kebebasan kepadanya untuk membuat pilihan, selagi memahami batas dan tanggungjawab diri.

Katanya, segala nilai dan didikan yang diberikan bersama Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair serta Tiko Aryawardhana diharapkan menjadi bekalan mencukupi buat Noah dalam mengharungi kehidupan.

“Insya-Allah, saya berharap segala didikan dan nilai yang sudah diberikan oleh saya, Allahyarham Ashraf serta Tiko kepada Noah mencukupi untuk membimbingnya.

“Saya tidak mahu terlalu menyekat kebebasannya. Sebaliknya, saya mahu memberikan ruang untuk dia menjalani kehidupan sendiri, tetapi pada masa sama tahu batas dan memahami perkara yang boleh serta tidak boleh dilakukan. Itulah harapan saya,” katanya.

BCL mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Noah yang kini melalui fasa remaja.

Ashraf meninggal dunia pada Februari 2020, manakala BCL kemudian mendirikan rumah tangga bersama Tiko Aryawardhana pada Disember 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini