Benteng banjir mudah alih lindungi kediaman

Benteng banjir mudah alih lindungi kediaman

BENTENG banjir mudah alih mampu mengurangkan kerosakan rumah dan memberi masa kepada penghuni untuk menyelamatkan diri serta harta benda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANJIR di Selangor bukan lagi kejadian luar biasa. Hujan lebat selama beberapa jam kini mampu menenggelamkan kawasan perumahan, melumpuhkan jalan raya dan memaksa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Pada 2 November lalu, banjir kilat melanda beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh dan Kampung Melayu Subang di Selangor sehingga menjejaskan lebih 500 rumah. Di beberapa lorong Kampung Melayu Subang, paras air dilaporkan mencecah pinggang.

Seorang penduduk terpaksa mendukung ibu bapanya yang berusia 90 dan 89 tahun ketika air naik dengan pantas. Kawasan berkenaan juga dilaporkan mengalami banjir sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebulan sebelumnya, pada 30 September, beberapa lokasi di Shah Alam dan Klang turut dilanda banjir kilat, termasuk Seksyen 7, Desa Alam, Bandar Baru Klang dan Taman Rashna.

Sementara menunggu pelaksanaan projek besar seperti menaik taraf saliran, kolam takungan dan sistem tebatan sungai, pemilik rumah juga perlu mempertimbangkan langkah perlindungan tambahan. Antaranya ialah penggunaan kit benteng banjir mudah alih.

Ketika banjir berlaku, pintu, pintu gelangsar dan ruang bukaan menjadi antara laluan utama air memasuki rumah. Walaupun air hanya memasuki kediaman beberapa sentimeter, kerosakan boleh melibatkan perabot, peralatan elektrik, dokumen, lantai dan dinding.

Selain meninggalkan lumpur serta sisa kotoran, air banjir boleh mencemarkan ruang kediaman dengan bahan buangan, minyak dan air kumbahan.

Keadaan lembap pula menggalakkan pertumbuhan kulat, merosakkan struktur dalaman serta meningkatkan risiko penyakit kulit, cirit-birit dan masalah pernafasan. Proses pembersihan dan pemulihan bukan sahaja memerlukan kos serta tenaga, malah boleh menjejaskan emosi penghuni.

Menyedari keperluan perlindungan di peringkat kediaman, beberapa projek penyelidikan pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam membangunkan dan menguji pelbagai reka bentuk benteng banjir mudah alih.

Antaranya ialah Hydro Guard, prototaip yang menggabungkan kanvas, paip PVC, pendakap, sokongan dawai dan beg pasir. Reka bentuk ini bertujuan menghasilkan benteng yang mudah dipasang serta disimpan apabila tidak digunakan.

Hasil eksperimen menunjukkan konsep tersebut mempunyai potensi untuk perlindungan banjir cetek. Salah satu reka bentuk yang ditambah baik mampu menahan air sedalam kira-kira 0.40 meter selama 30 minit tanpa kebocoran yang dapat diperhatikan.

Satu lagi reka bentuk pula mengekalkan paras air sekitar 0.30 meter selama 60 minit tanpa resapan di belakang benteng sepanjang pemerhatian.

Penambahbaikan turut dilakukan melalui penggunaan pita kalis air dan bahan pengedap pada bahagian bawah bagi mengurangkan kebocoran.

Fungsi benteng banjir bukan semata-mata untuk menjadikan rumah kalis banjir. Sebaliknya, keupayaannya menahan kemasukan air selama 30 hingga 60 minit boleh memberikan masa tambahan kepada penghuni untuk menyelamatkan dokumen penting, mengalihkan kenderaan, menaikkan peralatan elektrik serta membantu warga emas dan kanak-kanak berpindah.

Kit ini juga boleh direka untuk kegunaan sendiri tanpa memerlukan kerja pembinaan kekal. Panel ringan daripada aluminium, PVC atau bahan komposit setinggi 40 hingga 60 sentimeter boleh dipertimbangkan bagi menghadapi banjir cetek.

Namun, keberkesanannya bergantung pada reka bentuk, keadaan permukaan dan kaedah pemasangan. Pengguna perlu dilatih supaya dapat memasangnya dengan betul sebelum banjir berlaku.

Penggunaan kit benteng mudah alih bukan pengganti sistem perparitan, kolam takungan, rumah pam atau projek tebatan sungai. Sebaliknya, ia menjadi lapisan perlindungan tambahan di peringkat kediaman.

Pengurusan banjir yang berkesan memerlukan gabungan infrastruktur, sistem amaran awal, perlindungan hartanah dan persediaan pemindahan kecemasan.

Bagi negeri pesat membangun seperti Selangor, inovasi berskala kecil ini wajar diberikan perhatian seiring pelaksanaan projek infrastruktur besar. Kita mungkin tidak mampu menghalang semua kejadian banjir, tetapi langkah pencegahan yang sesuai mampu mengurangkan kerosakan dan kerugian.

Kadangkala, perbezaan antara kerugian besar dengan kerosakan yang terkawal bermula dengan sebuah benteng yang dipasang tepat pada masanya di hadapan pintu rumah. -UTUSAN

 

DR. SUZANA RAMLI

Pensyarah Kanan,

Fakulti Kejuruteraan Awam,

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini