Jangan sombong dengan pangkat

Jangan sombong dengan pangkat

KETUA perlu memimpin dengan berhemah dan menghormati orang bawahan kerana kewibawaan lahir daripada akhlak, bukan pangkat atau kuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI seorang ketua atau pemimpin merupakan tanggungjawab besar. Ketua yang prihatin terhadap kebajikan orang bawahan, berbudi bahasa dan bertolak ansur akan dihormati serta dikenang sebagai contoh kepada generasi kepimpinan seterusnya.

Mereka juga menjadi tempat rujukan apabila pekerja menghadapi masalah.

Namun, masih ada ketua yang bersikap angkuh, sombong dan gemar mengherdik orang bawahan, malah tergamak menghamburkan kata-kata kesat di khalayak ramai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih buruk apabila teguran disertai tindakan fizikal seperti menujah kepala pekerja. Jawatan tinggi bukan lesen untuk memaki hamun atau menjatuhkan maruah orang lain.

Kita memahami setiap ketua mahu memastikan agensi atau jabatan yang dipimpinnya mencapai prestasi cemerlang. Namun, matlamat itu boleh dicapai melalui teguran berhemah, panduan jelas dan komunikasi yang baik.

Ketegasan tidak bermaksud seseorang perlu bersikap kasar. Sebaliknya, layanan penuh hormat akan mendorong pekerja melaksanakan tugas dengan lebih ikhlas dan bertanggungjawab.

Ketua yang gemar menggunakan kekerasan mungkin mendapat kepatuhan di hadapan tetapi orang bawahan boleh menyimpan rasa tidak puas hati. Mereka juga mempunyai maruah, keluarga dan perasaan. Bayangkan kesan emosi terhadap anak-anak apabila melihat bapa mereka dihina dan dimalukan di khalayak ramai.

Justeru, penyalahgunaan kuasa dan tindakan memalukan pekerja perlu disiasat serta dikenakan tindakan sewajarnya.

Kecemerlangan seseorang dalam menjalankan tugas atau kejayaan membanteras jenayah tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan perbuatan sedemikian. Tiada sesiapa yang patut diberikan layanan berbeza apabila melanggar peraturan.

Ketua yang baik bukan sahaja dinilai melalui pencapaian organisasi, tetapi juga cara mereka mengurus tekanan, melayan pekerja dan menyelesaikan masalah.

Sikap saling menghormati mampu mewujudkan suasana kerja harmoni serta meningkatkan komitmen seluruh warga organisasi.

Ingatlah, pangkat dan jawatan hanya sementara. Setinggi mana kedudukan seseorang, dia tetap perlu menjaga adab dan menghormati orang lain. Jangan sampai kuasa yang dimiliki menjadi sebab dirinya dibenci, sedangkan penghormatan sebenar lahir daripada akhlak dan budi pekerti. –UTUSAN

 

JAMAL ABDUL RAHIM
Kuala Rompin,

Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini