PETALING JAYA: Maybank berjaya melaksanakan transaksi pertama Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bertoken di Malaysia menerusi projek perintis bersama Etiqa Life Insurance Berhad (Etiqa), sekali gus membuka laluan kepada penyelesaian transaksi pasaran kewangan yang lebih pantas dan cekap.
Transaksi itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Maybank di bawah Hab Inovasi Aset Digital (DAIH) Bank Negara Malaysia (BNM), dengan menggabungkan sekuriti bertoken, deposit bertoken dan proses kustodian dalam satu aliran kerja penyelesaian penghantaran berbanding pembayaran (DvP).
Menerusi pendekatan itu, transaksi sekuriti boleh diselesaikan dengan menghubungkan infrastruktur berasaskan rantaian blok (blockchain) dengan sistem konvensional, termasuk pengurusan tunai dan sekuriti asas yang turut disediakan oleh Maybank menerusi perkhidmatan kustodian.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, tokenisasi merupakan perkembangan semula jadi dalam perkhidmatan kewangan yang berpotensi mengubah cara pasaran beroperasi menerusi pergerakan aset, tunai dan transaksi yang lebih cekap.
“Perkembangan integrasi digital di ASEAN turut membuka peluang jangka panjang untuk memperkukuh aliran transaksi rentas sempadan, khususnya menerusi inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
“Fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada peningkatan skala infrastruktur bagi memperluas aplikasi komersial, termasuk bon bertoken, deposit dan aset digital lain,” katanya.
Sebelum ini, Maybank turut menyelesaikan penukaran mata wang asing ringgit Malaysia-dolar Singapura dan pembayaran rentas sempadan pertama secara dalam rantaian (on-chain) bagi Yinson Holdings Berhad menerusi platform blockchain berizin milik bank itu.
Projek perintis berkenaan menyediakan asas kepada proses penyelesaian transaksi yang lebih lancar, sekali gus membolehkan tunai, sekuriti dan cagaran digerakkan dengan lebih mudah antara pihak yang terlibat.
Pendigitalan infrastruktur pasaran kewangan berpotensi menyokong aktiviti pelaburan, pembiayaan dan pengurusan cagaran yang lebih dinamik, selain mengurangkan risiko penyelesaian transaksi serta meningkatkan kecairan dan kecekapan operasi.
Maybank juga bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama, Kustodian dan Pelanggan Utama bagi penerbitan sukuk bertoken pertama Malaysia oleh Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Pelaburan dalam inovasi digital itu merupakan sebahagian daripada komitmen Maybank menerusi strategi lima tahunnya, ROAR30, yang memperuntukkan RM10 bilion bagi teknologi, data dan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN










