PETALING JAYA: CGS International (CGSI) menurunkan unjuran inflasi Malaysia kepada 1.6 peratus pada 2027 berbanding 2.1 peratus sebelum ini, susulan tekanan kenaikan kos domestik yang masih terkawal dan kesan pemindahan kos kepada pengguna yang terhad.
Ahli Ekonomi CGSI, Mas Aida Che Mansor berkata, unjuran lebih rendah itu turut mengambil kira sokongan daripada ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus membantu mengurangkan tekanan inflasi import.
Katanya, perkembangan inflasi terkini menunjukkan tekanan harga asas dalam ekonomi masih sederhana meskipun peningkatan kos pengangkutan dan utiliti mendorong kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Oktober 2026.
“Tekanan inflasi domestik yang berterusan sederhana, disebabkan pemindahan kos yang terhad, menyokong semakan turun unjuran inflasi kami,” katanya dalam laporan penyelidikan.
Beliau berkata, inflasi keseluruhan Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Oktober 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, lebih rendah daripada jangkaan CGS International dan konsensus Bloomberg.
“Pada masa sama, inflasi teras yang tidak mengambil kira harga barangan dan perkhidmatan yang mengalami turun naik ketara serta harga terkawal, menyederhana kepada 1.5 peratus pada bulan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kenaikan inflasi Oktober terutama didorong peningkatan kos utiliti sebanyak 1.9 peratus berbanding 1.4 peratus pada September, susulan caj elektrik yang kekal tinggi menerusi kadar surcaj Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) sebanyak 3.61 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh).
Sementara itu, inflasi kos pengangkutan meningkat lebih pantas kepada 4.2 peratus pada Oktober berbanding 2.5 peratus pada September, didorong kenaikan harga bahan api dan kos pengendalian kenderaan persendirian.
“Harga purata RON97 meningkat kepada RM5.00 seliter berbanding RM4.64 pada September, manakala RON95 tanpa subsidi naik kepada RM4.52 seliter daripada RM4.16.
“Harga diesel turut meningkat kepada RM5.20 seliter berbanding RM5.05 pada bulan sebelumnya,” tambahnya.
Bagaimanapun, Mas Aida berkata, kesan kenaikan kos bahan api terhadap harga barangan dan perkhidmatan secara keseluruhan masih terhad, seperti ditunjukkan oleh penyederhanaan inflasi teras.
Katanya, pelaksanaan subsidi bahan api bersasar menerusi BUDI95 dan BUDI Diesel terus membantu mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap isi rumah yang layak, sekali gus membendung tekanan inflasi peringkat kedua.
Selain itu, inflasi makanan kekal terkawal dengan kenaikan 1.5 peratus bagi tempoh 10 bulan pertama 2026, manakala harga makanan di rumah meningkat hanya 0.7 peratus.
Firma penyelidikan itu turut menyemak turun unjuran inflasi Malaysia bagi 2026 kepada 1.8 peratus daripada 1.9 peratus sebelum ini, selepas inflasi purata bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini berada pada 1.8 peratus. – UTUSAN











