HANOI: Vietnam sedang mempertimbangkan untuk menghapus cukai penggunaan khas bagi semua jenis petrol mulai November, selain meneliti kemungkinan menurunkan harga runcit elektrik bagi meringankan beban isi rumah dan perniagaan.
Kerajaan dalam kenyataan semalam berkata, cadangan penghapusan cukai itu akan berkuat kuasa dari 1 November hingga 31 Mac 2027.
Langkah itu dipertimbangkan ketika Vietnam berdepan tekanan inflasi yang meningkat dan risiko gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 10 peratus pada 2026.
Vietnam menyasarkan kadar inflasi sebanyak 4.5 peratus tahun ini. Bagaimanapun, inflasi tahunan meningkat kepada 5.08 peratus pada September berbanding 4.89 peratus pada Ogos, menurut data rasmi.
Timbalan Perdana Menteri, Nguyen Van Thang, pada Selasa mengarahkan Kementerian Kewangan meneliti asas perundangan, kebolehlaksanaan serta kesan cadangan pengurangan cukai penggunaan khas petrol kepada sifar, menurut kerajaan.
Ketika ini, kadar cukai penggunaan khas bagi petrol adalah antara tujuh hingga 10 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, Thang mengarahkan syarikat utiliti milik kerajaan, EVN, mengira semula kos operasi dan memaksimumkan penjimatan bagi membolehkan tarif purata elektrik runcit diturunkan.
Ekonomi Vietnam berkembang sebanyak 9.95 peratus pada suku ketiga tahun ini.
Bagi mencapai sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 10 peratus, ekonomi negara itu perlu berkembang lebih daripada 12 peratus pada suku keempat.- AGENSI











