Alahai, Cik Bunga pun pelik apabila mendengar cerita yang satu ini. Kalau betul seperti yang disampaikan sumber, nampaknya ada juga kisah kurang manis membabitkan seorang selebriti muda yang dikatakan kurang senang dengan penyanyi meningkat naik, Auddra.
Menurut cerita yang singgah ke telinga Cik Bunga, individu yang juga dikatakan sebaya dengan Auddra itu dipercayai pernah terlepas cakap kepada seorang kenalan dalam industri bahawa dia sebenarnya tidak menyukai penyanyi yang juga anak kepada pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahira itu. Betulkah?
Apa yang membuatkan Cik Bunga tertanya-tanya, selama ini individu berkenaan dilihat cukup mesra apabila berhadapan dengan Auddra. Bukan sekali dua juga kelihatan mereka bertegur sapa dan bergaul seperti tiada apa-apa masalah.
Jadi, apabila timbul dakwaan bahawa hatinya sebenarnya tidak begitu berkenan dengan Auddra, memang timbul tanda tanya. Adakah kemesraan yang dipamerkan selama ini sekadar menjaga hubungan sesama rakan industri?
Kalau benar begitu, sayanglah. Bukankah lebih baik kita bersikap jujur dan profesional daripada menunjukkan layanan berbeza di depan dan di belakang seseorang?
Namun, Cik Bunga tidak mahu terlalu cepat membuat kesimpulan. Kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi punca rasa kurang senang itu. Mungkin ada salah faham, mungkin juga sekadar perbezaan personaliti.
Atau mungkinkah kehadiran Auddra yang semakin mendapat perhatian dan peluang dalam industri membuatkan ada pihak berasa sedikit tercabar? Maklumlah, apabila seseorang artis muda mula mendapat tempat, pasti ada mata yang memerhati. Tetapi, itu semua sekadar persoalan yang bermain di fikiran Cik Bunga. Jangan pula ada yang terasa!
Apa pun, kalau benar ada rasa tidak puas hati, lebih elok diselesaikan secara baik. Tidak perlulah bermuka manis di hadapan tetapi menyimpan rasa yang berbeza di belakang.
Dunia hiburan ini kecil sahaja. Hari ini mungkin kita kurang senang dengan seseorang, esok lusa boleh jadi bekerja dalam satu projek pula.
Cik Bunga cuma berharap Auddra terus fokus mengembangkan bakat dan kerjayanya. Biarlah hasil kerja yang menjadi jawapan, bukan cerita kurang enak sesama rakan industri.
Bagi Cik Bunga, yang penting, kalau berkawan, biarlah ikhlas. Kalau tidak serasi, cukuplah sekadar menjaga profesionalisme. Tak perlulah sampai buat orang tertanya-tanya, mesra di depan tetapi lain pula ceritanya di belakang. Aduhai!









