Bukan hendak menyibuk hal orang, tetapi Cik Bunga tertanya-tanya juga apabila terdengar cerita penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, dikatakan menyimpan hasrat untuk menyertai program Gegar Vaganza Fantasia. Namun, nampaknya hasrat itu tidak kesampaian apabila namanya tidak tersenarai sebagai peserta.
Pada pandangan Cik Bunga, Amylea sebenarnya mempunyai pakej yang cukup lengkap untuk berada di pentas pertandingan berprestij seperti itu. Bakat vokalnya bukan calang-calang, pengalaman dalam industri juga bukan sehari dua.
Malah, perjalanan seninya sejak menyertai Akademi Fantasia dahulu sudah cukup membuktikan bahawa dia bukan nama asing dalam dunia muzik tempatan.
Jadi, kalau hendak dibandingkan dengan rakan-rakan seperjuangannya yang lain, Cik Bunga tidak nampak mengapa Amylea tidak boleh diberikan peluang yang sama. Malah, kehadirannya dalam program berkenaan pastinya boleh memberikan warna tersendiri kepada persaingan.
Cik Bunga bukanlah mahu mempersoalkan keputusan pihak produksi kerana sudah tentu mereka mempunyai pertimbangan dan kriteria tersendiri dalam memilih barisan peserta. Cuma, apabila bercakap mengenai bakat, rasanya Amylea memang mempunyai kelebihan yang tidak sepatutnya dipandang sepi.
Terus terang Cik Bunga katakan, Amylea memerlukan platform sebegini untuk kembali menyerlah sebagai penyanyi. Bukan bermaksud namanya sudah hilang daripada industri, tetapi apabila terlalu banyak bergerak di belakang tabir sebagai komposer dan pencipta lagu, ada kalanya orang ramai terlupa bahawa dia juga mempunyai suara yang cukup istimewa.
Jangan sampai orang lebih mengenali Amylea kerana hasil karya yang diciptanya untuk penyanyi lain, sedangkan bakatnya sendiri sebagai penyanyi tidak diberikan ruang secukupnya.
Bukankah satu kerugian jika suara dan kemampuan yang dimiliki hanya tersimpan begitu sahaja?
Cik Bunga percaya, sekiranya diberikan peluang beraksi di pentas Gegar Vaganza Fantasia, Amylea mampu memperkenalkan semula sisi dirinya yang mungkin sudah lama tidak disaksikan penonton.
Malah, siapa tahu, menerusi platform itu namanya boleh kembali menjadi sebutan dan membuka lebih banyak peluang dalam perjalanan seninya selepas ini.
Apapun, janganlah pula Amylea berkecil hati. Tidak terpilih untuk satu program bukan bermakna pintu rezeki sudah tertutup. Bakat yang dimilikinya tetap ada nilai dan wajar diberikan perhatian. Semoga ada rezeki Amylea.











