KUALA TERENGGANU : Mahasiswa perlu memiliki keberanian moral untuk menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi mempertahan integriti terutama ketika berdepan dengan tekanan dan godaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, mahasiswa perlu menjadikan integriti sebagai prinsip utama kerana mereka bakal menjadi pemimpin, penjawat awam dan pembuat keputusan.
Katanya, sehingga kini, seramai 138 kadet Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menamatkan latihan Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (KOR SUAR) sejak diperkenal pada 2023 termasuk 39 kadet bagi Kohort 4/2026.
“KOR SUAR adalah inisiatif SPRM untuk menyemai kesedaran antirasuah serta membentuk mahasiswa yang berintegriti, berdisiplin dan berani menegakkan kebenaran.
“Integriti sebenar bukan sekadar melakukan perkara yang betul apabila diperhatikan, tetapi tetap memilih kebenaran walaupun tiada siapa yang melihat,” katanya ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan KOR SUAR dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda UniSZA Kohort 4/2026 di sini.
Azmi berkata, kadet KOR SUAR turut berperanan sebagai duta kecil SPRM dengan menyebarkan kesedaran mengenai bahaya rasuah.
Katanya, mereka perlu menjadi mata dan telinga SPRM dengan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya rasuah serta peka terhadap perlakuan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di persekitaran masing-masing.
“Jadikan ilmu dan pengalaman sepanjang latihan ini sebagai panduan untuk menjadi individu yang bukan sahaja berjaya, tetapi juga amanah dan boleh dipercayai,” katanya. – UTUSAN










